Sunday, November 24, 2024
26.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ambuyat sajian pilihan orang kitani

    Oleh Afiq Zainuddin –

    Sudah tidak asing lagi dan memang menjadi makanan kegemaran orang Brunei sehingga kini adalah ambuyat.

    Ambuyat asalnya daripada sagu atau ambulung dalam Bahasa Melayu Brunei.

    Ambulung boleh didapatkan daripada bahagian lembut dalam batang sagu sawit dan perlu diproses sehingga menjadi sagu.

    Rupanya seperti tepung berwarna putih susu tetapi agak kasar dan lembap.

    Sekarang ia mudah didapati dijual di pasar raya atau tamu dalam bentuk paket.

    Gambar MP
    Gambar MP
    Gambar Nur Illa
    Gambar MP
    Gambar MP
    Gambar MP
    Gambar MP

    Antara bahan-bahan utama yang diperlukan untuk ‘memasak’ ambuyat ialah tepung sagu (ambulung) dan air panas.

    Sebelum ‘menumpah’, ambulung tadi perlulah dituang dengan sedikit air terlebih dahulu dan dikacau hingga sebati.

    Setelah air panas mendidih, segeralah tuang air ke dalam bekas ambulung tadi dengan perlahan-lahan dan dikacau dalam bentuk bulatan.

    Selepas itu, hentikan mengaul terlalu lama dan biarkan cerek berisi air panas itu ikut putaran gaulan tadi dan berhenti setelah ia menjadi semakin kental, kemudian digaul secepatnya.

    Teknik gaulan dan kuantiti air perlulah ditekankan kerana jika tidak ambulung tadi boleh menjadi seperti air (licak) atau kental (berwarna putih pekat/kelabu) dan susah untuk ‘dicungkil’ menggunakan candas.

    Ambuyat memiliki struktur seperti gam dan sedikit melekit. Setelah ambuyat dihidangkan, ia haruslah dimakan dengan segera dalam keadaan yang masih panas sebelum menjadi kenyal dan sejuk.

    Oleh kerana ambuyat berfungsi sebagaimana nasi dan tidak berperasa maka cara permakanannya perlulah disertakan dengan cacah, ulam-ulaman dan lauk-pauk.

    Cacah merupakan sambal cair yang dimakan bersama ambuyat. Rasanya yang masam, sedikit pedas dan sangat enak. Antara bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat cacah adalah seperti, air, cili padi atau cili biasa (kuantiti mengikut kepedasan yang disukai), gula, garam, perasa, bawang merah, limau kasturi atau boleh ditambah dengan belunu, jeruk binjai ataupun tempoyak.

    Cara membuatnya adalah dengan menyatukan semua bahan dalam lesung batu dan ditumbuk lumat.

    Di samping itu, ambuyat juga dihidangkan dengan pelbagai jenis lauk-pauk.

    Antaranya ialah ikan masak antap (ikan masin panggang), ikan rebus kunyit, udang galah rebus, ikan masin lemak, gulaian pucuk rebung masak lemak, dadah tahai masak api (ikan diasap bumbu bercili), ulam-ulaman (lalapan), sambal belacan atau terasi, cencaluk (udang diawetkan), daging lalap, sayur-sayuran dan bermacam-macam-macam lagi.

    Bahan-bahan untuk membuat ambuyat:
    – Ambulung
    – Air panas

    Bahan-bahan untuk membuat cacah:
    – Cili padi
    – Gula dan Garam
    – Limau kasturi
    – Tempoyak/belunu/binjai
    – Udang kering/pusu

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda