Monday, October 28, 2024
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    AMCA tekan kekayaan kepelbagaian budaya ASEAN

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Mesyuarat ke-11 Menteri-menteri ASEAN yang bertanggungjawab mengenai Kebudayaan dan Kesenian (AMCA) serta Mesyuarat AMCA Bersama Rakan-rakan Dialog, termasuk ASEAN Campur Tiga, China, Jepun dan Republik Korea telah diadakan baru-baru di Melaka, Malaysia pada 23 hingga 26 Oktober.

    Menghadiri mesyuarat-mesyuarat berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia, dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Dengan tema Merapatkan Budaya, Membina Masa Depan: Kesatuan Dalam Kepelbagaian yang dipengerusikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Sri Tiong King Sing, telah menggariskan peranan penting budaya dan seni dalam mempromosikan pembangunan mampan dan inklusif bagi memperkukuhkan perpaduan ASEAN.

    Mesyuarat turut menekankan kekayaan kepelbagaian budaya ASEAN yang menjadi asas kepada kesatuan serantau, dengan matlamat menyokong Visi Komuniti ASEAN 2045, dengan tiga keutamaan iaitu Belia, Ekonomi Kreatif dan Pendigitalan.

    Semasa mesyuarat, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan telah mengongsikan bahawa Negara Brunei Darussalam telah menerima manfaat daripada inisiatif-inisiatif budaya serantau yang mempromosikan nilai kebersamaan dan meraikan kepelbagaian.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi semasa menghadiri Mesyuarat AMCA yang diadakan di Melaka, Malaysia, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KKBS

    Yang Berhormat Dato juga mengongsikan mengenai pencalonan bersama negara-negara ahli ASEAN mengenai kebaya untuk diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara oleh UNESCO iaitu satu usaha penting yang memperkukuhkan perpaduan serantau.

    Seterusnya, Yang Berhormat Dato menyatakan sokongan Negara Brunei Darussalam bagi memajukan Industri Budaya dan Kreatif (CCI), selaras dengan Deklarasi Vang Vieng yang mana usaha ini diperkuatkan melalui kerjasama dengan Jepun, China dan Republik Korea.

    Yang Berhormat Dato juga menghadiri Sesi Interface AMCA Campur Tiga bersama peserta Forum Belia dan Warisan ASEAN, di mana Negara Brunei Darussalam diwakili oleh dua belia, iaitu Awang Hilmi Hamizan bin Haji Rosli dan Dayang Nornaqibah binti Abdul Hamid.

    Mesyuarat ke-11 AMCA telah didahului oleh Mesyuarat ke-20 Pegawai-pegawai Kanan yang bertanggungjawab terhadap Kebudayaan dan Kesenian (SOMCA) yang telah berlangsung pada 22 Oktober dan diikuti dengan Mesyuarat SOMCA bersama Rakan Dialog termasuk ASEAN Campur Tiga iaitu China, Jepun dan Republik Korea pada 23 Oktober.

    Mesyuarat turut dihadiri oleh menteri-menteri AMCA negara-negara ahli ASEAN dan wakil, serta Setiausaha Agung ASEAN dan Timor-Leste sebagai pemerhati.

    Delegasi Negara Brunei Darussalam turut disertaioleh Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, selaku wakil SOMCA Negara Brunei Darussalam serta pegawai-pegawai dari KKBS.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda