“Kalau dia (Sharnaaz) tak pernah mengiyakan hubungan selama ini, saya terima saja.”
Demikian kata pelakon Amelia Christie Lim mengenai status hubungannya dengan Sharnaaz Ahmad selepas pelakon itu memberitahu tidak pernah mengesahkan bercinta dengan Amelia, sekali gus enggan mengulas gosip hubungan sudah terlerai.
Gosip itu mula menjadi bualan ramai selepas mereka dilihat tidak lagi menjadi pengikut akaun media sosial masing-masing.
Amelia ketika dihubungi Harian Metro menegaskan, dia tidak pernah menyekat atau berhenti mengikuti mana-mana akaun media sosial.
“Terus-terang saya tidak mahu membesarkan hal yang kecil. Tapi, saya perlu jelaskan, saya tidak pernah ‘unfollow’ dan sekat akaun media sosial mana-mana pihak.
“Walau bagaimanapun, saya terima dengan hati terbuka dan ‘move on’. Saya akui perjalanan hidup saya masih panjang dan perlu tempuh macam-macam lagi dugaan.
“Saya bersyukur sebab Allah hadirkan orang yang baik dalam hidup saya. Sayang dan kasih saya pada Jebat Jayden (anak Sharnaaz) ikhlas dan tulus,” katanya.
Menurut Amelia, alasan utama tampil memberikan penjelasan bukan untuk menjatuhkan maruah sesiapa, apatah lagi bermusuh dengan mana-mana individu.
“Fokus utama saya sekarang adalah memastikan perniagaan saya berjalan lancar. Alhamdulillah, saya gembira dengan kerjaya sebagai usahawan sekarang.
“Saya juga ingin jelaskan niat saya buat kenyataan ini bukan untuk menjatuhkan maruah sesiapa dan saya tak nak bermusuh dengan mana-mana pihak.
“Saya cuma nak teruskan hidup dengan hal yang boleh menggembirakan dan membuatkan fikiran saya lebih positif,” katanya. – Agensi