Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Amelia Henderson bertanggungjawab, teliti pilih topik podcast

    Susulan munculnya beberapa episod kontroversi menerusi platform podcast, pelakon Amelia Henderson menasihati penyedia kandungan untuk bertanggungjawab dengan setiap kandungan yang dimuat naik.

    Bagi Amelia atau Amelia Thripura Henderson, 28, program podcast merupakan satu platform baik untuk bertukar pendapat namun perlu berhati-hati dengan setiap topik yang diperbincangkan.

    “Saya rasa podcast ini adalah satu medium yang sangat berguna untuk kita berkongsi pendapat tapi kita sendiri kena bertanggungjawablah atas pendapat tersebut. Bagi saya kita tak boleh nak salahkan dunia podcast sahaja kerana ia bergantung kepada media sosial juga. Kita kena bertanggungjawab dengan apa yang kita cakap tidak kisahlah sama ada di hadapan kamera atau tidak,” katanya kepada mStar.

    Dalam pada itu, Amelia berkata dia terlebih dahulu akan meminta persetujuan tetamu sebelum menyiarkan kandungan di saluran podcast miliknya iaitu Sembang Studio. Meskipun mempunyai penulis skrip dan tenaga produksi yang hebat, aktres berkenaan tetap akan meneliti setiap kandungan bagi mengelakkan masalah berbangkit. Hal ini juga adalah dilakukan demi menghormati perasaan tetamu undangan agar tidak menyiarkan segala isu kandungan yang sensitif.

    “Bila buat kerja penyuntingan juga, saya akan memastikan untuk tanya dahulu kepada tetamu dan sekiranya mereka benarkan barulah kami akan siarkan. Saya memberi sepenuh ketelitian. Saya sentiasa berjaga-jaga, kadang-kadang saya tapis lebih banyak daripada apa yang diizinkan oleh tetamu sendiri. Saya faham akan ada waktunya yang kita akan bercakap dengan emosi. Saya mahu selamatkan program saya dan tetamu yang saya hormati jadi disebabkan itu saya lebih berhati-hati,” ujarnya.

    Pelakon drama Jangan Benci Cintaku ini turut berpendapat setiap kontroversi yang tercetus sebenarnya bukan hanya melalui podcast kerana ia juga boleh disebarkan menerusi media sosial. Bagi Amelia, perkongsian yang dibuat mungkin hanya sekadar teknik pemasaran atau realiti kisah hidup yang ingin disampaikan kepada penonton.

    “Sebenarnya isu-isu kontroversi ini tidak ada kena mengena dengan podcast. Cerita kontroversi ini telah wujud dari zaman dulu sebelum zaman digital lagi. Pasti ada sahaja penonton yang tertanya-tanya adakah perkara ini kontroversi? Adakah ia dicipta semata-mata ingin menaikkan nama artis itu. Ia bukan fasal dunia digital atau podcast tetapi semuanya tentang teknik pemasaran. Kalau penonton masih menonton content itu, maksudnya teknik pemasaran yang dibuat berjaya atau mungkin itu memang realiti yang ingin dipaparkan,” katanya. – Agensi

    Amelia bertanggungjawab dalam proses suntingan podcast Studio Sembang. – mStar

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda