Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    AMEM ke-41 bincang perkembangan program kerjasama tenaga ASEAN

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-41 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan di Bali Nusa Dua Convention Centre, Bali, Republik Indonesia, antara lain membincangkan perkembangan tujuh bidang program yang dilaksanakan di bawah Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN Fasa Kedua Tahun 2021–2025.

    Ini termasuk ASEAN Power Grid, Trans-ASEAN Gas Pipeline, Coal and Clean Coal Technology, Energy Efficiency and Conservation, Renewable Energy, Regional Energy Policy and Planning, dan Civilian Nuclear Energy.

    Mewakili Negara Brunei Darussalam pada mesyuarat yang bermula kelmarin hingga esok itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Mengiringi Yang Berhormat Pehin ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Tenaga), Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra selaku Ketua Pegawai-pegawai Kanan Tenaga ASEAN bagi Negara Brunei Darussalam dan pegawai-pegawai dari Jabatan Tenaga di JPM.

    Dengan tema Sustainable Energy Security Through Interconnectivity, AMEM ke-41 menggariskan kepentingan pembangunan tenaga lestari melalui kesalinghubungan. Ini juga termasuk mempertingkatkan kerjasama antarabangsa bagi memperkembangkan infrastruktur tenaga.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi semasa menghadiri AMEM ke-41 di Bali. – Gambar serahan JPM
    Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua bergambar ramai bersama ketua-ketua delegasi dari negara anggota ASEAN dan Timor Leste, Timbalan Ketua Setiausaha Komuniti Ekonomi ASEAN, Pengarah Eksekutif Pusat ASEAN untuk Tenaga, Ketua Pengarah IRENA dan Pengerusi Badan Tenaga Khusus. – Gambar serahan JPM

    Di samping itu, ia mengiktiraf kesalinghubungan tenaga dan integrasi pasaran dalam ASEAN sebagai pemboleh utama bagi kerjasama tenaga ASEAN ke arah menangani cabaran-cabaran keselamatan tenaga dan mempercepatkan peralihan tenaga serantau yang saksama dan inklusif.

    Mesyuarat berkenaan juga telah menyaksikan pengadaptasian Deklarasi Bersama AMEM ke-41 mengenai Sustainable Energy Security Through Interconnectivity yang akan dijadikan sebagai dasar utama dalam memajukan projek-projek infrastruktur tenaga rentas sempadan di antara negara-negara anggota ASEAN.

    Ini termasuk projek Multilateral Power Trading di bawah bidang program ASEAN Power Grid dan meningkatkan kesalinghubungan dan kebolehaksesan bekalan gas dan gas asli cecair (LNG) di rantau ini serta Kenyataan Bersama Projek Integrasi Tenaga Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, dan Filipina (BIMP-PIP).

    Yang Berhormat Pehin juga berkesempatan mengadakan perjumpaan dua hala bersama ketua-ketua delegasi yang lain, termasuk Menteri Tenaga dan Sumber Daya Mineral, Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Arifin Tasrif dan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Malaysia, Tuan Yang Terutama Nik Nazmi bin Nik Ahmad bagi bertukar-tukar pandangan dalam bidang kepentingan bersama.

    AMEM ke-41 telah dibuka rasmi dan dipengerusikan oleh TYT Arifin Tasrif serta dipengerusikan bersama oleh Menteri Tenaga dan Perlombongan, Republik Demokratik Rakyat Laos, Tuan Yang Terutama Phosay Sayasone, pengerusi AMEM akan datang.
    Mesyuarat disusuli dengan majlis makan malam hari ini di mana delegasi peringkat menteri-menteri juga berpeluang lagi untuk bertemu secara dua hala dan rangkaian.

    Ini diikuti dengan Anugerah Tenaga ASEAN 2023 bagi pengiktirafan amalan-amalan terbaik berkaitan kecekapan dan penjimatan tenaga, tenaga yang boleh diperbaharui, kecemerlangan dalam pengurusan tenaga, teknologi bersih arang batu dan anugerah belia.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda