SANTIAGO, 3 OGOS – Jauh daripada suhu musim panas yang melampau di hemisfera utara, negara-negara di Southern Cone seperti Chile dan Argentina juga mengalami rekod gelombang panas, meskipun berada di tengah-tengah musim sejuk mereka.
Pada Selasa, bandar pergunungan Vicuna di tengah Chile mencecah 37 darjah Celsius.
“Sudah lebih 70 tahun sejak suhu seperti itu direkodkan di Vicuna,” kata pakar meteorologi Chile, Cristobal Torres kepada AFP.
Suhu luar biasa tinggi juga direkodkan 450 kilometer di selatan di ibu negara Santiago: 24C kelmarin, dengan paras yang sama diramalkan untuk hari ini dan esok.
Sementara itu di Buenos Aires, suhu melebihi 30C pada Selasa, menjadikannya suhu tertinggi 1 Ogos sejak catatan rekod bermula, menurut Perkhidmatan Meteorologi Kebangsaan Argentina. Purata suhu Ogos di Buenos Aires biasanya antara 18C dan 9C.
Beberapa bandar di seluruh Uruguay turut merekodkan suhu 30C, kelmarin.
“Apa yang kami alami adalah gabungan dari dua fenomena: trend pemanasan global akibat perubahan iklim serta fenomena El Nino,” kata Menteri Alam Sekitar Chile, Maisa Rojas, yang juga merupakan seorang ahli iklim.
“Apabila El Nino berakhir, keadaan cuaca global sepatutnya tidak lagi menjadi begitu ekstrem,” katanya.
Peristiwa El Nino dicirikan oleh peningkatan suhu Lautan Pasifik, menyebabkan hujan, banjir dan runtuhan salji di barat Amerika Selatan, serta gelombang panas.
Santiago, Buenos Aires dan Montevideo dijangka kembali ke suhu normal dalam beberapa hari akan datang, tetapi dipercayai gelombang panas yang serupa akan berlaku dengan frekuensi yang semakin meningkat. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P13-A-Freepik_04082023.jpg)