Amerika Syarikat, Brunei rai ulang tahun penandatangan perjanjian persahabatan ke-170

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JULAI – Amerika Syarikat (AS) akan meraikan ulang tahun Hari Kemerdekaan ke-244 esok (4 Julai) sekali gus meraikan ulang tahun penandatanganan Perjanjian Keamanan, Persahabatan, Perdagangan dan Pelayaran antara Negara Brunei Darussalam dan AS ke-170.

Perjanjian itu mengisytiharkan bahawa keamanan, persahabatan dan persefahaman yang baik akan terus wujud antara kedua-dua buah negara di mana perjanjian itu dimeterai oleh Sultan Omar Ali Saifuddin II, Sultan Brunei ke-23 dan Konsul Amerika Syarikat, Joseph Balestier pada 1850 di mana ia menubuhkan asas hubungan dua hala serta menyumbang kepada perdagangan bebas di rantau Indo-Pasifik.

Perjanjian itu berkuat kuasa tiga tahun kemudian iaitu pada 1853 dan terus kekal sehingga ke hari ini, jelas Kuasa Usaha (Charge’d’Affaires) AS ke Negara Brunei Darussalam, Scott Woodard dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan AS di di sini, hari ini.

Beliau menyatakan bahawa dalam bidang keamanan, hubungan Brunei dan AS adalah untuk mempromosikan keamanan dan sekuriti bagi kedua-dua buah negara dan serantau.

Kerjasama erat di antara tentera AS dengan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) terus berkembang dengan kukuh menerusi eksasais maritim seperti RIMPAC dan CARAT yang meraikan penganjuran kali ke-25 pada 2019 serta eksasais tentera darat yang terus berkembang seperti Pahlawan Warrior.

Scott Woodard menyatakan bahawa dalam bidang keamanan, hubungan Brunei dan AS adalah untuk mempromosikan keamanan dan sekuriti bagi kedua-dua buah negara dan serantau. – Gambar serahan Kedutaan Amerika Syarikat di Negara Brunei Darussalam

Kakitangan tentera dan pegawai pertahanan Brunei dan AS juga menyertai program latihan kepimpinan bersama di Brunei dan AS termasuk di Maktab Turus ABDB.

Beliau turut menyatakan bahawa kerjasama ketenteraan kedua-dua negara turut disaksikan menerusi kerjasama semasa Perang Dunia ke-II di mana lebih 28,000 tentera darat dan laut AS mengambil bahagian dalam pembebasan Brunei bersama-sama angkatan bersekutu.

Daripada segi persahabatan pula, beliau menyatakan bahawa hubungan di antara penduduk kedua-dua negara terus berkembang di mana ratusan rakyat Brunei telah mengembangkan kemahiran dan rangkaian mereka menerusi program-program pertukaran seperti program Fulbright, International Visitor Leadership Program (IVLP) dan Young Southeast Asian Leaders Initiative (YSEALI).

Di samping itu, rakyat kedua-dua buah negara juga saling berhubung menerusi pendidikan di mana warga Brunei yang menuntut di institusi pendidikan AS berpeluang untuk mengasah lagi bakat serta kemahiran mereka di universiti-universiti bertaraf dunia.

Pada masa yang sama, jelasnya lagi, jumlah pelajar AS yang menuntut di Brunei juga meningkat termasuk pelajar AS Fulbright pertama pada lewat tahun ini. Manakala itu, dari segi perdagangan, Woodard menyatakan bahawa dengan sokongan Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan Brunei-AS, kedua-dua negara mencatatkan lebih $360 juta dagangan keseluruhan barangan.

Brunei juga merupakan sebuah komuniti bagi syarikat-syarikat perkhidmatan minyak dan gas AS yang menjana peluang pekerjaan dan membantu dalam mengembangkan kapasiti dalam bidang-bidang khusus.

Di samping itu, Brunei turut menikmati pelbagai barangan dan perkhidmatan AS termasuk inovasi digital, perkhidmatan kewangan, platform media sosial, teknologi aeroangkasa dan media massa.

Manakala itu, Inisiatif Masa Depan Kesihatan ASEAN-AS yang baru dilancarkan merupakan inisiatif yang dibina di atas bantuan kesihatan awam kepada ASEAN berjumlah $3.5 bilion sepanjang tempoh 20 tahun di mana ia bermatlamat untuk meningkatkan sekuriti kesihatan menerusi penyelidikan, kesihatan awam dan latihan bagi generasi profesional kesihatan akan datang.

Manakala itu, Woodard berkata Brunei dan AS berkongsi perasan hormat bagi kedaulatan dan kemerdekaan negara, penyelesaian aman bagi pertelingkahan dan kepatuhan pada undang-undang antarabangsa dengan menekankan pentingnya kebebasan lautan yang merupakan amat kritikal kepada sekuriti, kestabilan dan kemakmuran global.

Kedua-dua buah negara adalah juga komited untuk menyelesaikan pertelingkahan secara aman selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf seluruh dunia termasuk Konvensyen PBB bagi Undang-undang Lautan dan mengekalkan serta menghormati kebebasan pelayaran dan penerbangan.

Beliau juga menyatakan bahawa dapat menyaksikan penyelarasan dalam Pandangan Indo-Pasifik ASEAN iaitu keterbukaan, rantau yang berasaskan kepada undang-undang, pentadbiran yang baik dan hormat kepada undang-undang antarabangsa serta visi AS bagi sebuah rantau Indo-Pasifik yang terbuka dan bebas.