Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Amerika Syarikat gantung lesen vaksin chikungunya

    PARIS, 25 OGOS – Pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) telah menggantung lesen untuk vaksin Ixchiq bagi virus chikungunya berikutan laporan tentang kesan sampingannya, kata pengeluar ubat Perancis itu hari ini.
     
    Ixchiq ialah satu daripada dua vaksin yang diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS untuk virus penyebaran nyamuk, yang kebanyakannya berlaku di kawasan tropika dan subtropika tetapi baru-baru ini ditemui di negara-negara di seluruh dunia.
     
    Syarikat Perancis, Valneva, memperoleh kelulusan AS untuk vaksin itu pada tahun 2023, tetapi laporan tentang kesan sampingan telah mendorong kajian semula khususnya mengenai penggunaannya pada pesakit yang lebih tua, termasuk oleh Agensi Ubat Eropah tahun ini.
     
    “Penggantungan lesen itu berkuat kuasa serta-merta,” kata Valneva mengenai perintah FDA yang dikeluarkan Jumaat lalu, memetik empat kes kesan sampingan tambahan yang serius, tiga daripadanya melibatkan warga berumur 70 hingga 82 tahun.
     
    “Sementara kami menentukan langkah seterusnya dan susulan ancaman chikungunya terus meningkat di seluruh dunia, Valneva kekal komited sepenuhnya untuk mengekalkan akses kepada vaksin kami sebagai alat kesihatan global,” kata Ketua Eksekutif, Thomas Lingelbach, dalam satu kenyataan.
     
    Pakar kesihatan awam berkata chikungunya berpotensi menjadi ancaman pandemik masa depan kerana perubahan iklim mendorong nyamuk menyebarnya ke kawasan baharu. Simptomnya sama seperti demam denggi dan virus Zika, dengan demam tinggi dan sakit sendi serta berbeza tempohnya.
     
    Chikungunya jarang membawa maut, walaupun terdapat peningkatan risiko kematian bagi anak damit dan warga tua.
     
    Pada Julai lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia memberi amaran tentang risiko besar wabak chikungunya, meminta tindakan segera untuk menanganinya. – AFP
     
    Gambar bertarikh 21 Mac 2025 menunjukkan vaksin chikungunya Ixchiq di sebuah farmasi di Saint-Denis de la Reunion. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda