Saturday, May 10, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Amerika, tiga sekutu kutuk serangan Tehran

    PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), 28 Feb – Amerika Syarikat (AS) dan tiga sekutu Eropah mengecam Iran semalam selepas PBB mendapati Tehran telah mencabul sekatan senjata ke atas Yaman serta gagal menyekat bekalan peluru berpandu dan dron kepada pemberontak Huthi.

    Britain, Perancis, Jerman dan AS menyeru Iran supaya menghentikan kesemua aktiviti yang tidak konsisten atau akan mencabul resolusi PBB yang mengenakan sekatan senjata pada 2015.

    Kecaman bersama itu dikeluarkan sehari selepas Rusia memveto satu resolusi yang dirangka oleh Britain yang memperbaharui sekatan ke atas Yaman dan memetik ‘kebimbangan khusus’ mengenai hasil dapatan satu laporan mengenai Iran.

    Laporan oleh panel pakar PBB pada Januari menyimpulkan bahawa Iran mencabul resolusi selepas menentukan peluru berpandu yang ditembak oleh Huthi ke atas Arab Saudi tahun lalu adalah dibuat di Iran.

    Bagaimanapun, Rusia menyoal hasil dapatan dan menyekat resolusi, berkata laporan tidak mengandungi bukti kukuh tentang pencabulan Iran ke atas sekatan senjata.

    “Kami mengutuk Iran yang tidak mematuhi resolusi, seperti yang digambarkan oleh panel, yang menimbulkan risiko serius kepada keamanan dan kestabilan di rantau,” kata satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh misi AS.

    Kesemua empat negara telah menandatangani perjanjian nuklear Iran pada 2015.

    Dalam respons kepada kecaman itu, Kementerian Luar Negeri Iran berkata dalam satu kenyataan, “selama tiga tahun sekarang, tingkah laku AS dan Britain di Majlis Keselamatan PBB adalah teruk dan bersamaan dengan pengesahan penindasan di Yaman.”

    Kenyataan berkata negara berkenaan sedang menghasut ‘penindasan Saudi’ di Yaman dengan bertindak sebagai penyokong utama negara dan pembekal senjata.

    Veto Rusia merupakan satu halangan untuk AS tatkala ia mendesak Majlis Keselamatan supaya mengambil dasar yang lebih tegas ke atas Iran disebabkan peranannya dalam konflik serantau dan ujian peluru berpandu.

    Pentadbiran AS menegaskan Iran tidak melaksanakan komitmennya di bawah perjanjian nuklear, yang telah dikritik oleh Presiden Donald Trump sebagai yang ‘paling teruk pernah dicapai’. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda