Pelakon Amerul Affendi meluahkan rasa syukur apabila segelintir penerbit mula memandang bakat berbanding rupa.
Amerul atau Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi, 37, berkata drama bersiri Projek: High Council berjaya mengetengah wajah ‘biasa’ dan ia bukti diterima ramai.
“Semua orang ada kelebihan masing-masing, sekarang ini rupa paras sudah tidak menjadi isu. Muka biasa sahaja tapi mereka berbakat besar.
“Penerbit betul-betul ambil orang yang sesuai dengan karakter masing-masing,” katanya.
Kata Amerul dia juga berharap agar perkara itu akan berterusan memandangkan ramai pengarah muda lebih melihat bakat berbanding rupa ketika ini.
“Saya harap perkara ini akan berterusan, kerana saya tahu ramai orang muda sudah mula duduk di kerusi pengarah mahupun penerbit,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Amerul memberitahu bahawa dia sedang sibuk menguruskan ladang ternakan dan bidang tersebut lebih terjamin buatnya.
Kata Amerul, ternakan yang di-usahakan mendapat pemintaan tinggi dan kini sedang fokus untuk jualan Hari Raya Aidiladha.
Selain itu kata Amerul, dia juga sedang mengusahakan makanan untuk haiwan ternakan secara skala besar. – Agensi
