Tuesday, April 29, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Amir Ahnaf berehat sepanjang Ramadan

    Pelakon sedang meningkat naik, Amir Ahnaf memilih berehat selama sebulan sepanjang Ramadan.

    Anak kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata, aktivitinya sepanjang berehat diisi dengan membaca.

    Berkongsi bahan bacaan menjadi pilihan, pelakon berusia 23 tahun itu berkata, dia sukakan genre jenayah, psikologi dan fantasi, lapor BH Online.

    “Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem di Terengganu sebelum puasa. Jadi, inilah masanya saya berehat.

    “Saya rasa layak untuk berehat selepas bertungkus-lumus bekerja selama tiga hingga empat bulan tanpa henti menjalani filem serta drama.

    Kesempatan berehat juga digunakan Amir untuk meluangkan masa bersama dengan keluarga dan adik-beradik. – mStar

    “Saya juga manusia biasa, perlukan rehat. Kesempatan bercuti digunakan untuk membaca kerana sudah lama tak baca buku. Selain itu, membaca dapat bantu penghayatan watak dalam drama atau filem,” katanya.

    Menurut Amir lagi, dia tiada masalah dengan pendirian sesetengah pelakon mengambil peluang merebut semua tawaran sepanjang Ramadan sementara masih diperlukan kerana setiap orang mempunyai cara tersendiri.

    “Bagi saya, tiada masalah kalau pelakon nak pulun bekerja sebab setiap manusia ada pilihan masing-masing.

    “Cara saya berbeza dan nak berehat, tapi ada orang mungkin lebih suka kekal aktif serta produktif,” katanya yang ditemui pada majlis Tayangan Premier Filem Pendek jenama baju Melayu, Elrah Exclusive bertajuk Mak, di Dadi Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur, kelmarin.

    Sementara itu, Amir berkata kesempatan berehat juga akan digunakan untuk meluangkan masa bersama dengan keluarga dan adik-beradik.

    “Setakat ini, saya masih belum ada perancangan nak pulang ke kampung berbuka dengan keluarga. Walaupun tak terikat dengan penggambaran, tapi saya ada beberapa majlis dan rangka promosi bersama jenama baju raya.

    “Selepas dapat jadual barulah saya boleh buat keputusan balik ke kampung,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda