Amir kekal genre rock dalam single baharu

Kemunculan Amir Masdi buat pertama kali di pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL 35) awal tahun ini membuka mata banyak pihak tentang kemampuan sebenar dirinya.

Malah, sejak itu pemilik nama lengkap Amir Syazwan Masdi, 25, terus menjadi perhatian, sekali gus berjaya mengumpul peminat baharu.

“Sejak dari dulu saya sentiasa bekerja keras dalam kerjaya. Saya bertekad dalam diri untuk tidak berasa selesa dengan apa yang dicapai.

“Saya mahu terus berusaha dan tingkatkan lagi pencapaian di masa hadapan. Jika sebelum ini saya bergelar finalis AJL, selepas ini saya berazam nak menang pula,” katanya yang mahu sentiasa ada peningkatan dalam kerjayanya.

Sukses dengan single Puas, Kau Sakiti dan Asmara, Amir yang tampil dengan identiti muzik sendiri menerusi genre modern rock itu kembali dengan buah tangan terbaharu, Esok.

Kemunculan Amir Masdi buat pertama kali di pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL 35) awal tahun ini membuka mata banyak pihak tentang kemampuan sebenar dirinya. – Agensi

Menurut Amir, single terbitan syarikat rakaman Nova Music itu merupakan karya ciptaan bersama Shazee Ishak, Audi Mok dan dirinya sendiri.

“Lagu ini cukup istimewa kerana liriknya mengikut konsep dan idea daripada saya sendiri di mana saya mahu sampaikan sesuatu yang boleh memotivasikan diri dan memberi semangat.

“Sekarang semua orang berada dalam suasana suram akibat pandemik yang berpanjangan. Jadi, menerusi lirik lagu ini, saya nak pujuk hati dan menenangkan orang.

“Saya tidak begitu mahir dalam penulisan lirik, jadi saya minta tolong Shazee untuk terjemahkan apa saya rasa menerusi lirik lagu ini,” ujarnya.

Tambah Amir, dia masih mengekalkan genre muzik sama sebagaimana sebelum ini kerana ia sudah menjadi trademark dirinya dan diterima baik peminat.

“Saya kekalkan modern rock kerana percaya peminat sudah tahu saya penyanyi genre ini, selain saya sendiri memang meminatinya.” – Agensi