Penyanyi Malaysia, Amir Masdi, 28, menyifatkan golongan muda masa kini mampu menyara kehidupan dengan bermain muzik sekiranya mereka betul-betul serius, selain berbakat.
Menurut Amir, ia berikutan dia kagum dengan bakat seni dipersembahkan sekumpulan pelajar di sebuah sekolah menengah di Senawang, Negeri Sembilan di TikTok, baru-baru ini.
“Dalam video TikTok itu, mereka yang masih pelajar sekolah memainkan lagu saya, Nurcinta dengan begitu baik dan memang buat saya kagum.
“Jadi, selepas berbincang dengan pasukan saya dan pihak sekolah, saya pergi ke Senawang untuk buat kejutan sebagai tanda penghargaan untuk pelajar itu di atas bakat seni mereka.
“Mereka tak kenal saya pun pada mulanya. Tapi, kemudian baru mereka perasan dan kata, eh ini abang Amir Masdi Nurcinta. Saya jadi sangat terharu,” katanya kepada Harian Metro.
Ujar Amir, bagaimanapun dia mendapati semua pelajar itu mengikuti kelas muzik di sekolah yang secara tidak langsung membantu melatih kemahiran bakat dimiliki masing-masing.
“Melihat pada cara kemahiran mereka bermain muzik walaupun masih bersekolah, saya yakin sekiranya diteruskan sehingga dewasa, pasti akan berjaya.
“Malah, ia juga menunjukkan bahawa pembabitan mereka dalam bidang muzik tidak sia-sia dan mampu menjadi kerjaya, sekali gus dapat menyara kehidupan keluarga,” katanya. – Agensi