Penyanyi Malaysia, Amir Masdi enggan terlibat dalam kemelut yang sedang berlaku di antara anggota kumpulan Search ketika ini.
Amir atau Amir Syazwan Masdi, 28, sebaliknya hanya mahu memberi fokus kepada persediaan Konsert Search Gemuruh di Zepp Kuala Lumpur yang bakal berlangsung pada 29 Jun depan.
Bagaimanapun besar harapannya agar semua anggota Search dan bekas ahli kumpulan legenda itu dapat mencapai kata sepakat bagi menyelesaikan masalah yang timbul.
“Mula-mula saya keliru apa cerita sebenarnya tapi itu urusan mereka, saya tak mahu masuk campur.
“Saya hanya jalankan tugas untuk konsert dan tidak ada tanda tangan sebarang kontrak sebagai ahli tetap kumpulan ini.
“Saya macam projek istimewa untuk konsert ini sahaja,” katanya kepada mStar.
Amir berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis tayangan perdana Filem Padu The Movie yang berlangsung di Kuala Lumpur pada malam Rabu.
Bekas juara Akademi Fantasia 2016 ini bakal muncul bersama empat anggota Search iaitu Kid, Noordin, Denden dan Yan menerusi konsert tersebut.
Dalam pada itu, Amir berharap kerjasama yang dilakukan bersama Search dapat sokongan peminat memandangkan ini pertama kali dia melibatkan diri dalam konsert berskala besar.
Malah dia juga menjanjikan suatu kelainan dalam konsert tersebut menerusi lagu-lagu terkenal kumpulan Search. – Agensi