Wednesday, February 12, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Amir Raja Lawak dakwa perniagaan kena sihir

    Gara-gara menemui beberapa keping syiling di sekitar gerai miliknya di Stadium Kota Bahru, Kelantan, pelawak Amir Raja Lawak mendakwa ada individu cuba melakukan perbuatan sihir terhadap dirinya.

    Mula menyedari perkara itu sejak dua bulan lalu, Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi, 36, berkata dia menemui banyak duit syiling yang ditabur di sekitar lokasi perniagaannya.

    “Dalam dua bulan lepas lagi tapi baru tergerak nak kongsi kepada umum, sangat mustahil duit terjatuh.

    “Saya jumpa syiling di sekitar penutup lubang utama dan di bawah papan penutup lubang,” katanya ketika dihubungi mStar.

    Menurut Amir lagi, pelbagai perkara mistik turut berlaku terhadap dirinya antaranya mudah berasa mengantuk apabila ingin membuat siaran langsung bagi mempromosikan perniagaan menerusi saluran TikTok.

    “Saya selalu promosikan gerai saya di media sosial dan selalu akan tiba-tiba rasa mengantuk macam tak bagi saya promosikan gerai.

    “Kalau tidak buat siaran langsung saya okay saja, tak rasa mengantuk teramat sangat.

    “Sebelum ini ada juga saya mengalami demam yang teruk tapi Alhamdulillah sekarang sudah membaik,” luahnya.

    Bukan itu sahaja, sejak itu juga beberapa pekerjanya kerap sakit selain gerainya terlindung daripada pandangan mata pelanggan.

    “Staf saya kerap demam, sakit kepala dan badan. Beberapa pelanggan yang mahu ke gerai juga memberitahu gerai tutup sedangkan buka seperti biasa,” kongsinya.

    Bagi mengatasi perkara itu, Amir memberitahu dia mengamalkan doa-doa ringkas sebagai pendinding diri.

    Malah, dia juga sedang mendapatkan rawatan perubatan Islam kerana tidak mahu kejadian tersebut semakin melarat.

    Amir bagaimanapun enggan menuduh sesiapa sebagai pelaku memandangkan mempunyai hubungan baik dengan semua peniaga di medan selera itu.

    “Tapi setakat ini saya jalankan saja perniagaan saya seperti biasa, apa yang jadi kemudian hari saya berserah kepada Allah SWT,” katanya lagi.

    Sebelum ini, tular video TikTok yang memaparkan Amir memperlihatkan lantai gerainya bersepah dengan syiling di atas lantai sekali gus meluahkan rasa bimbang dengan kejadian tersebut. – Agensi

    Amir dakwa dia disihir selepas menemui syiling di kedai makannya. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda