Biarpun ramai rakan baik dalam kalangan selebriti sudah mendirikan rumah tangga, namun penyanyi lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah, Amir Masdi, 26, masih belum berhasrat mencari jodoh.
Juara Akademi Fantasia (AF) 2016 itu berkata, dia menerima banyak lamaran peminat mengajaknya berkahwin di laman sosial, namun, lebih selesa menganggapnya sebagai usikan.
“Saya menerima banyak mesej peri-badi dalam media sosial, malah ada yang berani mengajak saya berkahwin. Tetapi, saya anggap ia hanya usikan dan sekarang peminat boleh mendekati artis dengan mudah melalui laman sosial.
“Bagaimanapun, saya lebih gemar mengambil pendekatan tidak melayan sehingga ada meninggalkan komen dalam hantaran yang dimuat naik.
“Saya tidak menganggap usikan sebagai sesuatu yang lucu, sebaliknya mungkin mereka memang ada menyimpan perasaan dan niat ke arah itu.

“Kemudahan ada sekarang membuatkan orang lebih berani kerana mereka boleh berkomunikasi dengan sesiapa sahaja melalui media sosial,” katanya kepada BH Online.
Amir atau nama sebenarnya, Amir Syazwan Masdi berkata, dia belum memikirkan ke arah mencari jodoh kerana menyedari tanggungjawab besar perlu dipikul sebagai suami.
Tambahan pula, katanya, buat masa ini, dia ingin fokus kepada kerjaya nyanyian kerana masih ada beberapa impian belum tercapai.
“Saya masih ada beberapa impian belum dicapai, jadi saya ingin mengejarnya terlebih dulu sebelum membuat keputusan berkahwin.
“Lagipun, tanggungjawab sebagai suami besar, jadi saya belum selesa memikirkan hal lain.
“Saya terkejut melihat rakan sele briti yang masih muda mendirikan rumah tangga, tetapi saya tumpang gembira kerana mereka sudah bersedia dan mempunyai rezeki berkahwin,” tambahnya lagi. – Agensi