Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Amir Ukays ambil tindakan undang-undang tipu pakej haji

    “Saya akan ambil tindakan undang-undang terhadap individu terbabit.” Itu kata-kata penyanyi terkenal tanah air, Amir Ukays yang mendakwa menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat yang berjanji memberi tajaan menunaikan ibadat Haji, baru-baru ini.

    Amir atau nama sebenar, Mohd Azmir Muhammad Yusof, 56, mendakwa, individu terbabit memutarbelitkan kenyataan dan mengatakan dirinya sudah menyebabkan provokasi ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai tidak benar.

    “Individu terbabit juga meyakinkan bahawa penaja akan datang bersama dokumen yang kami tunggu dari jam 11 malam hingga 7 pagi. Tiada apa-apa dokumen seperti visa atau tiket penerbangan yang kami terima dan penaja juga tidak muncul-muncul,” katanya.

    Amir berkata, dia sudah berbincang dengan peguam dan perkara itu akan dilaksanakan secepat mungkin.

    “Saya memang tak puas hati. Memandangkan saya artis, dia jadi gelabah bila penipuannya ini dapat tumpuan ramai. Dia sengaja nak serang saya dan saya akan pertahankan diri,” katanya kepada Harian Metro.

    Penyanyi lagu Di sana Menanti Di Sini Menunggu bersama isterinya, Sarimah Ahmad, 51, sepatutnya berlepas ke Tanah Suci pada 1 Jun lalu bersama 77 jemaah lain.

    Bagaimanapun, mereka kecewa apabila ditipu pihak tidak bertanggungjawab. Amir bersama enam jemaah lain sudah membuat laporan polis dan menyerahkan perkara terbabit kepada pihak berkuasa. – Agensi

    Amir sudah berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang berikutan penipuan pakej haji. – HM Online
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda