Penyanyi kelahiran Akademi Fantasia 2013, Amira Othman, 27, enggan menggunakan gimik bagi melonjakkan namanya.
Penyanyi yang popular menerusi lagu Jaga-Jaga itu berkata, dia tidak akan menggunakan gimik sekiranya muncul dengan single baharu.
Bagi Amira, dia lebih mementingkan karya berkualiti dan kemampuan menyanyi secara ‘live’ daripada sibuk memikirkan cara untuk mencetuskan kontroversi.
“Saya akui, ada yang bertanya, kenapa sudah lama tidak muncul dengan single baharu. Sudahlah tiada lagu, cerita kontroversi pun tiada. Secara jujur, saya pun tidak tahu nak buat apa untuk menaikkan nama.
“Bukan tidak bersetuju dengan gimik, tetapi setiap penyanyi ada cara yang tersendiri. Cuma, jika terlalu ramai artis buat gimik, peminat pun sudah dapat meneka apa yang cuba ditampilkan. Buat masa ini, saya tak terfikir buat gimik.

“Saya mementingkan lagu, bukan sahaja rakaman kena bagus dan berkualiti, tetapi saya mahu mampu menyanyi secara ‘live’ dengan baik. Ini soal periuk nasi dan kerjaya, kena buat yang terbaik. Jadi, kualiti vokal harus dititikberatkan,” katanya kepada media.
Memiliki vokal bernada rendah, Amira berkata, itu menyebabkan pilihan lagu yang mampu dinyanyikan sangat terhad.
“Disebabkan itu juga, saya sangat cerewet dalam soal pemilihan lagu hingga lebih setahun tidak memiliki single baharu,” katanya. Single terakhirnya menyaksikan kerjasama Amira bersama adiknya, Irfan Haris menerusi lagu Sambil.
Bagaimanapun, katanya, sambutan terhadap single Sambil sedikit mengecewakan, namun dirinya tidak berputus asa.
“Sebenarnya, saya berdepan dengan masalah mencari karya. Saya terlalu cerewet hingga ada kalanya tertanya juga adakah sikap ini bagus untuk kerjaya nyanyian. Disebabkan cerewet jugalah saya tiada lagu baharu.” – Agensi