Penyanyi dan pelakon Amira Othman terpaksa menerima rawatan di sebuah pusat perubatan di Selangor kelmarin selepas mengalami kesukaran bernafas.
Pengurusnya, Que Hanafi ketika dihubungi mStar memaklumkan keadaan Amira dilaporkan stabil, namun masih mengalami gejala batuk dan selesema.
“Beberapa hari ini Amira mengalami demam, batuk dan selesema. Tapi semalam dia tiba-tiba mengadu sukar bernafas menyebabkan dia terpaksa di bawa ke hospital untuk rawatan lanjut. Alhamdulillah hari ini keadaannya dilaporkan beransur baik, cuma masih batuk dan selesema saja,”katanya.
Menurut Que, Amira dan Fattah sepatutnya terbang ke Korea pada Isnin untuk menjalani sebuah penggambaran, namun terpaksa bergerak asing.
“Kalau ikutkan pagi ini Fattah dan Amira akan terbang ke Korea untuk menjalani penggambaran sebuah jenama produk.
“Namun disebabkan Amira dirawat di hospital, hanya Fattah dan pasukannya saja pergi dahulu kerana pihak produksi sudah menunggu kami di sana.
“Insya-Allah jika keadaan Amira okay, kami akan bertolak ke Korea esok dan berada di sana selama seminggu untuk menjalani penggambaran,” katanya.
Terdahulu Fattah memuat naik gambar katil hospital bersama kapsyen meminta orang ramai mendoakan kesihatan isterinya.
“Doakan isteri syurga saya, Amira Othman,” tulisnya.
Terdahulu, Fattah dan Amira bergelar suami isteri pada hari ulang tahun ke-35 aktor itu pada 14 September lalu. – Agensi


