Tuesday, July 22, 2025
31.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Amira Othman mengaku terima bunga dari Fattah Amin

    Lima hari menerima rawatan di hospital, penyanyi Amira Othman tidak menafikan dia ada menerima jambangan bunga daripada pelakon Fattah Amin.

    Kata Amira atau Nadia Amira Othman, 32, pemberian bunga tersebut hanyalah atas dasar ikatan persahabatan yang mendoakan dirinya agar cepat sembuh.

    Amira turut memberitahu dia tidak mengetahui niat sebenar Fattah berkongsi fotonya di Instagram, sebaliknya menyerahkan kepada aktor berkenaan untuk memberi penjelasan.

    “Saya mengakui ‘rakan sekerja’ (Fattah) ada beri bunga. Memang Fattah ada berkongsi di Instagram (IG) tapi saya tidak tahu mengapa, itu kena tanya dia sendiri.

    “Saya rasa biasalah tu kalau orang nak usik-usik kami. Saya pun tak tahu nak komen apa.

    “Tapi seperti apa yang Fattah tulis di IG, ‘semoga cepat sembuh rakan sekerja’. Perkara yang baik kita doakan. Untuk bercerita lebih lanjut, tidak ada apa lagi untuk diceritakan,” katanya kepada mStar.

    Amira berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sesi eksklusif bersama Amira Othman dan Hazama yang diadakan di A Quite Place Karaoke, Bukit Bintang, Kuala Lumpur kelmarin.

    Menurut Amira dia dimasukkan ke hospital kerana mengalami masalah keracunan makanan sehingga membuatkan tekanan darah menjadi rendah. Dia kini sudah beransur pulih.

    Ditanya mengenai hubungan dengan Fattah, Amira tidak menafikan aktor berkenaan merupakan antara kawan lelaki yang paling rapat dengannya di dalam industri seni.

    Jelas Amira, mungkin disebabkan populariti dimiliki Fattah membuatkan mereka sering mendapat perhatian ramai.

    “Dalam industri seni ini sebenarnya ada sahaja kawan-kawan lelaki yang rapat dengan saya tapi tak ramai.

    “Kalau yang rapat antaranya ialah Fattah. Saya rasa sebab dia adalah Fattah Amin, peminatnya ramai jadi saya terkena tempiasnya kalau dia kongsi apa-apa di media sosial. Sebab Fattah yang popular, semua orang nak tahu tentang dia,” luahnya.

    Pada 16 Jun lalu, Fattah menghadiahkan jambangan bunga tulip kepada Amira seakan-akan mengesahkan hubungan yang sedang terjalin meskipun menganggap penyanyi itu sebagai rakan sekerja.

    Malah Fattah turut menitipkan doa agar Amira segera sembuh daripada masalah kesihatan yang dihidapinya. – Agensi

    Amira menerima jambangan bunga daripada Fattah. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda