Friday, May 9, 2025
31.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Amirul ‘tapau’ tiga jersi

    BENTONG, 17 OKT – Pelumba negara, Nur Amirul Fakhruddin Marzuki melakukan kayuhan cemerlang pada peringkat ketiga Tour of Peninsular (ToP) 2019 dari Kuantan ke Karak, untuk mengungguli perlumbaan dengan mengekalkan pecahan sehingga 100 kilometer (km).

    Pada perlumbaan sejauh 172.7km hari ini, pelumba serba boleh itu daripada pasukan Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) itu, berjaya meloloskan diri bersama pelumba Iran, Amir Kolahdozhagh dari Taiyuan Miogee Cycling Team seawal kilometer ke-70.Nur Amirul dan Amir kemudian memasang strategi untuk mengekalkan kedudukan pendahulu, sekali gus masing-masing berjaya meraih kedudukan pertama dan kedua pada perlumbaan ini dengan catatan masa sama, tiga jam, 49 minit dan 59 saat.

    Rakan sepasukannya, Mohd Harrif Saleh memastikan kedudukan ketiga turut menjadi milik TSG, apabila berjaya memecut dari peloton utama pada garisan penamat dengan catatan 3:50:10s.

    Kejayaan ini menyaksikan Nur Amirul muncul pelumba Malaysia pertama untuk memenangi peringkat pada edisi sulung ToP apabila Muhammad Daniel Haikkal Edy Suhaidee dari pasukan kebangsaan Malaysia dan Mohd Harrif menamatkan saingan di tempat ketiga masing-masing pada peringkat pertama dan kedua.

    Lebih manis, keputusan itu turut memastikan pelumba berusia 27 tahun itu, merampas tiga jersi utama, iaitu jersi kuning (pendahulu keseluruhan), jersi biru (Raja Pecut) dan jersi putih (pelumba terbaik Asia).

    Nur Amirul Fakhruddin Marzuki (dua kiri) bergambar bersama Pemenang Raja Bukit Jersi Merah yang dimenangi oleh pelumba PGN Road Cycling Team Aiman Cahyadi dari Indonesia (dua kanan) selepas tamat peringkat ketiga ToP, kelmarin. – Bernama

    Beliau kini berada di kedudukan teratas menerusi posisi penamatannya pada hari ini, walaupun berkongsi 11:18:09s bersama-sama pelumba pasukan kebangsaan Azerbaijan, Elchin Asadov yang memegang jersi itu sejak peringkat pertama.

    “Dari peringkat semalam, memang TSG berusaha untuk membuat ‘breakaway dan menang perlumbaan peringkat tapi rezeki TSG dan saya di Karak. Strategi kami hari ini adalah untuk memastikan seorang pelumba pasukan kami berada dalam breakaway, supaya pasukan lain kejar.

    “Pada awalnya (selepas breakaway), saya memang tak yakin mampu bertahan, tetapi dengan adanya sedikit pengalaman, saya dan Amir merancang untuk kayuh perlahan-lahan dulu dan hanya bekerja keras pada 50km terkahir,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian hadiah.

    “Saya akan cuba pertahankan jersi-jersi ini sehingga ke hari terakhir…berharap dapat bertahan naik ke Cameron Highlands. Ikut perancangan awal, strategi kita adalah untuk memberi desakan kepada Metkel Eyob dan Artem Ovechkin untuk jersi kuning, tapi kita akan bincang kembali pada malam ini, kerana kita perlu lihat siapa mempunyai peluang yang tinggi,” tambahnya.

    Sebagai rekod, sebelum ini pelumba dari China, Wang Meiyin pernah memenangi keempat-empat jersi utama pada saingan peringkat ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013, tetapi hanya mampu mengekalkan jersi merah selaku Raja Bukit dan jersi putih sehingga peringkat terakhir (10) jelajah itu.

    Sementara itu, pelumba dari Indonesia, Aiman Cahyadi mewakili PGN Road Cycling Team merampas kembali jersi merah daripada pelumba negara, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff dari Team Sapura Cycling dengan kelebihan dua mata selepas meraih 10 mata secara keseluruhan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda