Amitabh Bachchan keluar dari hospital

Bintang Bollywood Amitabh Bachchan berkata beliau telah keluar dari hospital, tiga minggu selepas dimasukkan dengan simptom koronavirus ‘ringan’ selepas diuji positif dijangkiti penyakit itu.

Berita itu keluar tatkala Menteri Dalam Negeri India Amit Shah mendedahkan beliau telah diuji positif dijangkiti koronavirus, yang menjangkiti puluhan ribu orang sehari dan membunuh ratusan lagi, di negara yang mempunyai jumlah penduduk kedua tertinggi di dunia.

Anak lelaki Bachchan, Abishek, yang dimasukkan ke hospital pada masa yang sama, masih berada di hospital, sementara menantu perempuan Aishwarya Rai dan cucu Aaradhya dibenarkan keluar dari hospital pada minggu lalu.

“Saya sudah pulang ke rumah. Saya perlu dikuarantin dalam bilik saya,” tulis Bachchan di Instagram, berkata beliau telah diuji negatif.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada keluarga, peminat ‘dan jagaan yang bagus’ di hospital, berkata mereka ‘berusaha sehingga saya boleh melihat hari ini.’

Sepanjang masa beliau berkata beliau mempunyai simptom ‘ringan’.

Bachchan, 77, dipuja di India dan lebih dikenali sebagai ‘Big B’, telah bekerja lebih setengah abad dalam industri perfileman.

Peminatnya bersorak apabila beliau keluar dari hospital.

Ratusan berkumpul di Kuil Amitabh Bachchan, Kolkata, Ahad lalu – dibina oleh peminatnya di bandar itu pada 2001 dan mempunyai patung selebriti berkenaan. – AFP

Bintang Bollywood Amitabh Bachchan dibenarkan keluar dari hospital, tiga minggu selepas dimasukkan dengan simptom koronavirus ‘ringan’ selepas diuji positif dijangkiti penyakit itu. – Agensi