Khamis, November 20, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Amjad Warid juara pertandingan reel Hari Keputeraan

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Para pemenang Pertandingan Reels Semarak Hari Keputeraan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-79, telah menerima hadiah mereka pada majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Auditorium, Jabatan Penerangan, Berakas, kelmarin.

    Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah-hadiah berkenaan ialah Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah.

    Turut hadir para pegawai kanan dan pegawai jabatan, tenaga pengajar serta ibu bapa para peserta. Pemangku Ketua Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim berkata pertandingan itu buat julung kalinya diadakan sempena Sambutan Hari Keputeraan dengan hasrat untuk mengembangkan kemahiran pembuatan reel berkonsepkan kenegaraan dan patriotisme.

    Ia juga bertujuan untuk melihat perspektif golongan muda iaitu belia terhadap rasa cinta dan ketaatsetiaan mereka kepada raja, tambahnya lagi. Pada majlis itu, Awang Muhammad Amjad Warid bin Mohammad Azizulfitri dari Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah muncul juara sekali gus menerima wang tunai $1,000, sijil dan piala.

    Reel yang dihasilkan membawa tema, Satu Jiwa, Satu Cinta, Brunei Darussalam, menampilkan mesej tentang makna sebenar patriotisme yang bukan hanya ditunjukkan dengan kata-kata dan aksi, tetapi melalui doa, ilmu, akhlak serta juga tanggungjawab harian.

    Dayang Siti Bismi Nuruliman menyampaikan hadiah kepada juara pertandingan, Awang Muhammad Amjad Warid. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN
    Dayang Siti Bismi Nuruliman bergambar ramai dengan para pemenang yang diraikan. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN

    Naib juara pula ialah Nur Qestenna Wardeena binti Haji Chalideon-Bam dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) menerima wang tunai $750, sijil dan piala.

    Manakala, Anang Muhammad Fathur’Rahman bin Anang Abdul Rahman mendapat tempat ketiga dan menerima hadiah $500, sijil serta piala. Sementara itu, lima peserta menerima hadiah sagu hati dan masing-masing membawa pulang hadiah $100, sijil dan piala.

    Majlis juga diteruskan dengan penyampaian sijil kepada para hakim pertandingan oleh Dayang Siti Bismi Nuruliman.

    Pertandingan anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik itu telah bermula pada 15 Julai hingga 20 Oktober.

    Sebanyak 18 penyertaan diterima dari pelbagai sekolah dan institusi pengajian tinggi di negara ini dengan penilaian telah dibuat pada 10 November lalu, oleh barisan hakim berpengalaman yang terdiri dari penggiat seni dan penerbitan video berdasarkan empat kriteria iaitu isi kandungan, daya kreativiti (aspek visual), keaslian dan penyampaian/bahasa. Pertandingan itu dianjurkan bagi memupuk semangat taat setia dan kecintaan rakyat kepada raja dan negara, di samping menggalakkan belia untuk menonjolkan bakat kreatif dalam penghasilan video digital bertemakan patriotisme, kesejahteraan negara dan nilai-nilai Melayu Islam Beraja (MIB).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda