KUALA LUMPUR, 31 Julai – AMMB Holdings Bhd berharap dapat mencapai satu perjanjian penggabungan dengan RHB Bank Bhd dan menyampaikan kertas kerja mengenainya kepada pihak berkuasa berkaitan menjelang September ini. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AMMB, Datuk Sulaiman Mohd Tahir, berkata perbincangan masih lagi berterusan dan kedua-dua pihak telah menerima satu tempoh rundingan eksklusif daripada Bank Negara Malaysia (BNM) yang akan berakhir pada 31 Ogos 2017.
“Mengikut kelulusan BNM, kedua-dua pihak boleh berbincang sehingga Disember tetapi selepas bulan Ogos, ia tidak akan lagi eksklusif dan mereka boleh berbincang dengan pihak-pihak lain juga,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat di sini hari ini.
Penggabungan itu akan dapat mencipta entiti perbankan yang keempat terbesar di Malaysia dan memberikan sinergi dalam perkhidmatan perbankan runcit, perbankan pelaburan serta perbankan Islam. – Bernama