Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    AMMD tekad perangi dadah

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Negara Brunei Darussalam akan terus komited di bawah pendirian pendekatan toleransi sifar bagi menjamin masa depan dan kemaslahatan warga serta penduduk negara ini daripada kesan dan bahaya ancaman penyalahgunaan dadah.

    Perkara tersebut ditekankan oleh Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu dalam ucapannya semasa menyertai Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai Isu Dadah (AMMD) kali ke-8 yang diadakan di Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Laos, hari ini.

    AMMD merupakan mesyuarat yang diadakan pada setiap dua tahun yang dihadiri oleh menteri-menteri, ketua-ketua delegasi dari negara-negara ASEAN yang bertanggungjawab berhubung isu-isu dadah.

    Mesyuarat kali ini telah dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Keselamatan Awam, Republik Demokratik Rakyat Laos, Tuan Yang Terutama Police Colonel General Vilay Lakhamfong.

    Selain itu, dalam ucapannya, Dato Seri Paduka Haji Sufian turut menegaskan komitmen Negara Brunei Darussalam dalam mendukung kerjasama dan usaha-usaha di peringkat ASEAN, serantau dan antarabangsa ke arah menangani ancaman jenayah penyeludupan dan penyalahgunaan dadah.

    Semasa Mesyuarat AMMD kali ke-8, negara-negara anggota ASEAN telah bersetuju untuk menyampaikan sebuah kenyataan di Segmen Peringkat Menteri bagi Mesyuarat Commission on Narcotic Drugs ke-67 yang akan diadakan di Vienna, Republik Austria pada bulan Mac 2024 di mana ASEAN terus menegaskan pendirian toleransi sifar bagi mencapai aspirasi ASEAN Bebas Dadah.

    Gambar ramai semasa mesyuarat berkenaan di Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Laos, kelmarin. – Gambar serahan JPM
    Dato Seri Paduka Haji Sufian semasa menyampaikan ucapannya. – Gambar serahan JPM

    Kenyataan Pengerusi di Mesyuarat AMMD kali ke-8 telah menegaskan komitmen AMMD untuk memperkukuhkan lagi peranan AMMD sebagai penyelaras strategi ASEAN yang lebih komprehensif dan berkesan dalam merealisasikan aspirasi ASEAN Bebas Dadah dengan berpandukan kepada prinsip rule of law, hak asasi manusia, menghormati hak kedaulatan negara dan integriti wilayah ASEAN.

    Dalam pada itu, Republik Filipina selaku Pengerusi Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN bagi Hal Ehwal Dadah (ASOD) ke-45 pada tahun 2024 telah diamanahkan untuk melaksanakan penelitian terakhir bagi Pelan Kerja ASEAN Work Plan on Securing Communities Against Illicit Drugs 2016-2025 dan seterusnya membentangkan hasil penilaian di Mesyuarat AMMD kali ke-9 yang akan dipengerusikan oleh Republik Filipina pada 2025.

    Semasa berada di Vientiane, Dato Seri Paduka Haji Sufian bersama-sama ketua-ketua AMMD dan ASOD telah membuat kunjungan hormat kepada TYT Police General Vilay Lakhamfong untuk membincangkan kepentingan dalam meningkatkan kerjasama dalam kalangan negara ASEAN.

    Dato Seri Paduka Haji Sufian juga telah mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Negara, Kementerian Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Pembangunan, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

    Semasa sesi perjumpaan tersebut, Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura telah membincangkan peluang-peluang untuk mengukuhkan lagi kerjasama dua hala di dalam menangani ancaman jenayah dadah.

    Turut hadir ialah Pengarah Biro Kawalan Narkotik (BKN), Dato Paduka Mohd Zalani bin Haji Ismail dan pegawai-pegawai kanan dari JPM dan BKN.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda