Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Amnesty: Junta alih minyak awam kepada tentera

    BANGKOK, 3 NOV – Bekalan minyak penerbangan yang dihantar kepada Myanmar untuk pesawat awam telah dialihkan kepada tentera, yang mana tentera udara negara itu dikaitkan dengan jenayah perang, menurut Amnesty International hari ini.

    Myanmar yang diperintah junta, mengalami pergolakan sejak tentera merampas kuasa tahun lalu dan melancarkan tindakan keras terhadap penentang.

    Pertempuran semakin memuncak dengan kumpulan pemberontak etnik dan pasukan antirampasan kuasa baharu, ‘Pasukan Pertahanan Rakyat’ serta kumpulan hak asasi manusia menuduh tentera melancarkan serangan udara ke atas orang awam, yang disifatkan sebagai jenayah perang.

    Amnesty mengesan lapan penghantaran bahan api penerbangan yang tiba di terminal pelabuhan Thilawa, di luar hab komersial Yangon, antara Februari 2021 dan September tahun ini, katanya dalam laporan yang dikeluarkan hari ini. Penghantaran itu dikendalikan, disimpan dan diedarkan oleh dua sekutu Myanmar, syarikat minyak Puma, yang salah satunya adalah usaha sama dengan syarikat milik kerajaan.

    Sebahagian penghantaran dihantar ke lapangan terbang yang berkongsi kemudahan mengisi minyak dengan pangkalan tentera berdekatan, menurut Amnesty, memetik data satelit dan dokumen bocor.

    Kira-kira dua penghantaran, daripada Syarikat Petroleum Singapura milik PetroChina dan Thai Oil, dihantar terus kepada tentera, kata Amnesty, memetik data kastam dan surat yang memperincikan perolehan itu.

    Katanya, salah satu sekutu Puma di Myanmar turut membayar firma tempatan untuk mengangkut bahan api ke kemudahan penyimpanan yang dikawal tentera bagi bahan api jet. – AFP

    Jet pejuang Myanmar Air Force menjatuhkan bom semasa latihan tentera pada 2 Februari 2018 di rantau delta Ayeyarwaddy, Myanmar. Dalam laporan 3 November, Amnesty International menggesa pembekal minyak penerbangan ke Myanmar untuk menangguhkan penghantaran bagi menghalang tentera menggunakannya dalam serangan udara yang menyasarkan orang awam. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...