WOLVERHAMPTON, 27 DIS – Bos Manchester United, Ruben Amorim berkata dia memerlukan masa di padang latihan untuk memperbaiki kelemahan Red Devils selepas kekalahan 2-0 kepada Wolves kelmarin.
Matheus Cunha mendedahkan kelemahan pasukan pelawat daripada situasi bola mati dengan jaringan terus dari sepakan sudut diikuti jaringan Hwang Hee-chan berikutnya memastikan kemenangan penting mengeluarkan Wolves daripada zon penyingkiran.
Amorim hanya memenangi dua daripada tujuh perlawanan Liga Perdana pertamanya mengakibatkan United tersungkur di tangga ke-14.
“Saya rasa kami sentiasa mengawal permainan, bukan sentiasa mendominasi, tetapi mengawal. Tetapi perkara yang sama (berlaku), bola mati dan juga kad merah adalah sangat sukar untuk kami,” kata Amorim.
“Saya mengatakannya kepada orang: ia akan menjadi perjalanan yang panjang dan sangat sukar. Kami perlu teruskan. Kami perlu masa untuk berlatih.”
United kini tewas tiga perlawanan berturut-turut dengan tersingkir 4-3 Piala Liga kepada Tottenham diikuti kekalahan 3-0 di tempat sendiri kepada Bournemouth pada Ahad lalu.
Dalam lima perlawanan liga terakhir, pasukan Amorim bolos sama ada daripada sepakan sudut atau sepakan percuma.
Andre Onana pula mengadu dikasari apabila tersepit antara dua pemain Wolves apabila jaringan Cunha masuk ke sudut jauh.
Amorim meluahkan kekecewaannya kerana gol pembukaan itu dan ditambah dengan prestasi pemainnya tanpa ketua pasukan, Fernandes pada hampir keseluruhan babak kedua.
“Tetapi saya tidak mahu fokus pada insiden itu. Perkara yang baiknya ialah kami berada hampir dengan gawang (Wolves) walaupun dengan 10 pemain, tetapi kami tewas dan kami teruskan tugas kami.”
Namun, tugas Amorim seterusnya tidak mudah apabila bertemu Newcastle yang bertambah mantap di Old Trafford Isnin nanti.
Lawatan bertemu pendahulu liga, Liverpool adalah perlawanan pertama United pada tahun 2025 sebelum menentang Arsenal di pusingan ketiga Piala FA. – AFP