MANCHESTER, 24 NOV – Ruben Amorim anggap dirinya ‘sentiasa tersenyum’ tetapi dia juga boleh berubah menjadi tegas untuk memulihkan Manchester United.
Perlawanan pertama Amorim sebagai pengurus United adalah bertemu Ipswich dalam Liga Perdana hari ini.
Bos Portugal berusia 39 tahun itu, sebelum ini bersama Sporting Lisbon, mengetuai pasukan United yang berada di tangga ke-12 carta liga dengan ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu dan musuh ketat Liverpool.
Tetapi Amorim, yang dilantik selepas United memecat Erik ten Hag, tidak nampak sebab untuk mengubah personalitinya yang suka bergaul, terutamanya apabila dia perlu bertindak sebaliknya.
“Awda boleh menjadi orang yang sama,” kata Amorim pada sidang media pra-perlawanan.
“Jadilah orang yang positif dalam semua keadaan, ada tempat untuk berseronok dan beberapa tempat juga untuk bekerja keras.
“Jadi, saya boleh menjadi kejam apabila saya terpaksa. Jika awda berfikir sebagai satu pasukan, saya akan menjadi lelaki paling baik yang pernah awda lihat. Jika ada seseorang hanya pentingkan diri sendiri, saya akan menjadi orang yang berbeza.
“Saya bukan jenis lelaki yang mahu menunjukkan siapa bos. Mereka akan tahu nanti, bahawa saya boleh tersenyum tetapi apabila kita mempunyai tugas yang perlu dilakukan saya akan menjadi orang yang berbeza, dan mereka memahaminya,” ujar Amorim.
Tetapi dia kini mempunyai kesukaran tambahan untuk mengambil alih pasukan pada pertengahan musim.
“Ia adalah lebih sukar untuk menyertai pasukan pada pertengahan musim kerana awda perlu mengenali pemain semasa perlawanan,” katanya.
Amorim yang juga pengurus kedua United dari Portugal selepas Jose Mourinho adalah salah seorang daripada lima pengurus yang datang dan pergi di United sejak berakhirnya pemerintahan Alex Ferguson yang sarat dengan trofi pada 2013.
Salah satu perlawanan terakhir Amorim sebagai pengurus Sporting ialah kemenangan 4-1 Liga Juara-Juara ke atas Manchester City.
“Saya fikir dominasi City adalah masalah untuk semua orang di sini, tetapi kami mempunyai banyak perkara yang perlu dilakukan, kami tidak boleh beri tumpuan kepada satu pasukan sahaja,” kata Amorim.
“Jika awda boleh menewaskan pasukan itu ia satu petanda yang baik tetapi, seperti yang saya katakan, kami memberi tumpuan kepada Manchester United.” – AFP