Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MEI – Sejak 2017, pelbagai usaha signifikan telah dilaksanakan bagi menangani cabaran berkaitan berita palsu dan maklumat yang mengelirukan.
Antaranya ialah sesi Meja Bulat yang menerima pakai Rangka Kerja dan Pengisytiharan Bersama bagi Mengurangkan Kesan Buruk Berita Palsu, dan penubuhan Pasukan Petugas Mengenai Berita Palsu.
Di samping itu, dasar dan inisiatif turut dibangunkan bagi melengkapkan warganegara ASEAN dengan kemahiran berfikir secara kritis, agar mereka mampu menilai dan membezakan maklumat yang boleh dipercayai.
Perkara berkenaan antara yang telah digariskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Persidangan Menteri-menteri ASEAN yang Bertanggungjawab Ke atas Penerangan (AMRI) ke-17 dalam sembah alu-aluannya semasa Majlis Pembukaan Rasmi Persidangan AMRI ke-17 dan Mesyuarat-mesyuarat yang Berkaitan di The Empire Brunei kelmarin.
Sejak kebelakangan ini, jelas Yang Berhormat Pehin, cabaran yang berpunca daripada landskap media telah berkembang. Antaranya seperti ucapan kebencian serta penyebaran maklumat salah, mengelirukan dan yang dimanipulasi yang mana semuanya didorong oleh penggunaan media secara tidak beretika, termasuk melalui kandungan yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI) dan juga media sintetik.
Justeru itu, Yang Berhormat Pehin menekankan adalah penting untuk membangunkan persekitaran maklumat dan media yang selamat dengan menekankan tanggungjawab sosial yang lebih tinggi.
Yang Berhormat Pehin juga menyentuh sejak penubuhan pada tahun 1989, AMRI telah berkhidmat sebagai platform penting bukan sahaja menggalakkan kerjasama dalam maklumat dan membina identiti ASEAN tetapi juga menyokong promosi keamanan dan kestabilan serantau, selaras dengan Piagam ASEAN dan Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Tambahnya lanjut, berikutan penubuhan Komuniti ASEAN pada 2015, tumpuan telah beralih ke arah mengekalkan kesedaran tentang faedah integrasi ASEAN. Ini dicapai melalui pelaksanaan tujuh langkah strategik yang digariskan dalam Pelan Tindakan Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC) 2025, berpandukan Pelan Strategik, untuk Maklumat dan Media 2018-2025.
“Sektor maklumat di ASEAN memanfaatkan pelbagai platform media, termasuk media cetak, penyiaran, pengiklanan, dan Internet bagi menyebarkan maklumat serta memupuk persefahaman serantau. Setiap tahun, pelbagai program dilaksanakan, daripada bengkel dan persidangan kepada pertandingan serta latihan pembangunan kapasiti,” ujar Yang Berhormat Pehin.
Jelasnya lanjut, inisiatif jangka panjang seperti Berita Televisyen ASEAN yang diketuai oleh Brunei, Voice of ASEAN – Beyond Boundaries dan siri Kuiz ASEAN terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan dan pertukaran pengetahuan di kalangan media ASEAN, mempromosikan toleransi terhadap kepelbagaian budaya serta memanfaatkan kemajuan teknologi ICT untuk meningkatkan kesedaran dan rasa kebersamaan dalam kalangan rakyat ASEAN.
“Selain mempromosikan Komuniti ASEAN, sektor maklumat telah memainkan peranan penting, dalam meningkatkan literasi di seluruh ASEAN. Kini, ketika negara-negara anggota mempercepatkan transformasi digital, AMRI dan Pegawai-pegawai Kanan ASEAN yang Bertanggungjawab Ke atas Penerangan (SOMRI) mengambil langkah-langkah konkrit untuk meningkatkan kemahiran literasi maklumat dan media rakyat ASEAN agar membolehkan mereka mengharungi era maklumat digital dengan yakin,” tambahnya lagi.
Melangkah ke hadapan, Yang Berhormat Pehin yakin bahawa tema Persidangan AMRI kali ini akan terus memperkukuh kesatuan serantau dan membantu merangka hala tuju strategik AMRI. Tambahnya lagi, ini akan membolehkan persediaan secara kolektif terhadap keperluan audiens masa hadapan serta melabur secara strategik dalam transformasi jangka panjang sektor media serantau.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi ASCC, Tuan Yang Terutama San Lwin selaku wakil Setiausaha Agung ASEAN dalam ucapannya antara lain menyatakan sektor maklumat dan media sedang mengalami perubahan pesat dengan wujudnya pelbagai cabaran seperti lambakan maklumat, penyebaran maklumat salah dan palsu, serta penghakisan identiti budaya.

“Perbincangan yang telah berlangsung sepanjang mesyuarat SOMRI yang lalu dan sesi perbincangan hari ini akan menyediakan hala tuju serta strategi penting untuk memastikan sektor maklumat ASEAN terus berdaya tahan, dinamik, responsif dan berorientasikan rakyat, selaras dengan aspirasi kita menuju ke arah ASEAN sebagai Komuniti yang Berpeluang untuk Semua,” kongsi Tuan Yang Terutama.
Selain itu, menurut Tuan Yang Terutama, usaha-usaha pembinaan Komuniti ASEAN akan diperkukuhkan lagi melalui Wawasan Komuniti ASEAN 2045, serta empat pelan strategik yang akan diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada 26 Mei nanti.
Jelasnya lagi, kerjasama serantau dalam bidang maklumat dan media telah berkembang kukuh sepanjang tiga dekad sejak Mesyuarat Pertama AMRI pada 1989. Melangkah ke hadapan, Pelan Kerja Baharu bagi Maklumat dan Media 2026-2035 serta Pelan Induk Komunikasi ASEAN Ketiga yang sedang dibangunkan akan dijadikan panduan utama.
Dalam pada itu, Tuan Yang Terutama juga menegaskan dengan perkembangan dasar yang sedang berjalan kini akan mengukuhkan lagi pertukaran pandangan para menteri AMRI berdasarkan tema MAJU iaitu Media Advancing Joint Understanding: Mengubah Peranan Media dalam Memajukan Kerjasama dan Persefahaman di ASEAN.