Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    AMRO ramal ekonomi Kemboja lebih cerah

    PHNOM PENH, 23 MEI – Ekonomi Kemboja diramalkan berkembang pesat pada 2024, didorong oleh peningkatan eksport dan pemulihan berterusan dalam sektor pelancongan, menurut kenyataan akhbar Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) hari ini.

    “Ekonomi Kemboja diunjurkan berkembang sebanyak 5.6 peratus pada 2024 dan 5.9 peratus pada 2025, meningkat daripada 5 peratus pada 2023,” kata Prinsipal Ekonomi AMRO, Jinho Choi dalam siaran berita.

    “Pemulihan dalam sektor pakaian, pengembangan berterusan dalam eksport pembuatan lain dan pemulihan pelancongan akan menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan,” tambahnya.

    Pertumbuhan di negara Asia Tenggara ini sebahagian besarnya didorong oleh eksport pakaian, pelancongan, pertanian, serta pembinaan dan hartanah.

    Ketua Ekonomi AMRO, Hoe Ee Khor, berkata Kemboja adalah antara negara dengan pertumbuhan terpantas di rantau ini.

    Gambar Freepik

    “Pertumbuhan dalam sektor pakaian dijangka pulih dengan stabil pada 2024, didorong oleh permintaan yang lebih kuat untuk barangan pengguna di pasaran utama yang maju.

    Begitu juga, sektor bukan pakaian dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan yang kuat, disokong oleh aliran masuk pelaburan langsung asing yang stabil,” katanya kepada Xinhua dalam e-mel.

    “Pemulihan pelancongan yang kukuh, dipacu oleh peningkatan ketersediaan penerbangan dan kembalinya pelancong asing secara beransur-ansur, berserta dengan penggunaan domestik yang tertangguh, akan terus menyokong penambahbaikan dalam sektor perkhidmatan,” tambahnya.

    Khor berkata sektor pembinaan mungkin mengalami kadar pemulihan yang lebih perlahan, dengan pertumbuhan mungkin tidak mencapai tahap sebelum pandemik disebabkan kelembapan berpanjangan dalam sektor hartanah.

    “Pelaburan dalam infrastruktur akan sebahagian besarnya mengimbangi kelemahan dalam sektor hartanah,” katanya.

    Menurut kenyataan berita itu, inflasi indeks harga pengguna (CPI) di Kemboja dijangka pada kadar 2.5 peratus pada 2024 dan 2.6 peratus pada 2025, sejajar dengan trend sebelum pandemik. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda