AMSTERDAM, 7 FEB – Pihak berkuasa di Amsterdam kelmarin mengumumkan larangan baharu ke atas bot persiaran yang mencemarkan alam sekitar di terusan pusat bandar yang terkenal di dunia, memetik kesan kualiti udara yang teruk ke atas kesihatan penduduk.
Bermula 1 April, hanya bot elektrik, hidrogen atau perahu dayung dibenarkan, menurut satu kenyataan. “Udara tercemar di bandar ini membahayakan kesihatan penduduk Amsterdam,” tambah kenyataan itu.
Pencemaran udara, yang bertambah buruk akibat perubahan iklim, meningkatkan risiko penyakit pernafasan, kardiovaskular, diabetes dan kanser.
“Inilah sebabnya kami berusaha untuk meningkatkan kualiti udara dengan mewujudkan zon bebas pencemaran,” kata pihak berkuasa.
Larangan itu dijangka membantu mengurangkan pelepasan karbon dioksida serta pencemaran bunyi.
“Ini bermakna tiada lagi asap diesel di terusan kami, tetapi pelayaran yang senyap dan bersih menggunakan tenaga elektrik, hidrogen atau kekuatan otot,” menurut kenyataan itu, sambil menambah bahawa larangan tersebut tidak akan dikenakan terhadap rumah bot atau laluan pelayaran utama di bandar itu.
Bot hibrid akan dibenarkan selagi ia tidak mencemarkan.
Peraturan baharu yang lebih ketat terhadap bot pelancong di sungai sudah mula berkuat kuasa awal tahun ini, menurut penyiar awam Belanda, NOS. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P21-1_08022025.jpg)