KUALA LUMPUR, 29 JUN – Ahli gimnastik kebangsaan Malaysia, Amy Kwan Dict Weng memberi tumpuan untuk memulihkan semula penampilannya ketika skuad gimnastik berirama kebangsaan meneruskan latihan mereka di gimnasium Majlis Sukan Negara pada 5 Julai.
Olahragawati Terbaik Tahun 2018 itu mendedahkan bahawa cabaran utama beliau buat masa kini ialah untuk mengekalkan keadaan fizikalnya dalam kedudukan terbaik serta mengelak daripada berlaku sebarang kecederaan semasa latihan minggu hadapan.
“Sebelum ini saya mengimpikan untuk kembali berlatih, menari mengikut irama jadi saya benar-benar berterima kasih kerana atlit boleh menyambung semula latihan normal selepas menerima lampu hijau daripada Majlis Sukan Negara,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Sementara itu, Kwan yang juga Olahragawati Selangor Tahun 2018, berkata beliau berhasrat untuk menempa lebih banyak lagi kejayaan pada masa akan datang setelah mencapai banyak keputusan positif dalam acara antarabangsa sejak beberapa tahun lepas. – Bernama