Bakal menghiburkan peminat dalam konsert solo pertama, penyanyi Datuk Amy Search sudah mempersiapkan diri untuk kekal bertenaga sepanjang acara berlangsung.
Peka dalam hal penjagaan kesihatan, Amy atau Suhaimi Abdul Rahman, 66, tidak mahu menghampakan peminat sekiranya dia tidak dapat beraksi dengan baik, menurut laporan mStar.
Malah usia juga bukan satu halangan bagi memastikan penonton yang hadir berpuas hati dengan persembahan itu nanti.
“Sudah tentu di usia sekarang ini saya perlu pastikan diri kekal sihat dan bertenaga. Penyanyi ini umpama pemain bola kerana perlu kekalkan stamina supaya dapat berikan persembahan mantap.
“Untuk persembahan selama dua jam setengah itu adalah sesuatu yang menyeronokkan kerana dapat berinteraksi dan menjadi kenangan terindah dengan peminat,” katanya.
Konsert Amy Search Magic Solo Pertama bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Selangor, Malaysia pada 26 April nanti.
Acara itu juga menjadi pencapaian istimewa dalam kariernya selepas lebih empat dekad bergelar anak seni dan cukup sinonim dengan lagu-lagu rock malar segar.
“Setiap kali dapat menjayakan konsert saya dapat rasai satu kepuasan. Sebagai penghibur, saya sentiasa mahu berada di atas pentas dan menghiburkan peminat.
“Bagi saya, semakin kerap membuat persembahan, semakin banyak ilmu dan pengajaran baru yang dapat saya pelajari,” ujarnya.
Membawa tema Rock It Like Amy, penyanyi ini juga menggalakkan peminat untuk mengenakan gaya fesyen yang mencerminkan semangat dan identiti rock n’ roll.
Bakal menyanyikan sekitar 20 hingga 25 lagu, Amy turut mengajak peminat untuk sama-sama meraikan sambutan Aidilfitri pada konsert itu nanti
“Sudah tentu lagu kegemaran peminat saya akan nyanyikan. Saya janji akan berikan persembahan yang terbaik.
“Saya mahu peminat hadir, dan kita akan sambut Aidilfitri bersama dalam suasana yang penuh bermakna,” jelasnya. – Agensi
