Penyanyi Datuk Amy Search sudah menghubungi rakan artis Datuk Awie susulan kontroversi yang menjadikan nama kedua-dua mereka sebelum ini menjadi bualan hangat.
Kata Awie atau Ahmad Azhar Othman, 56, dia juga terbuka memberi sokongan buat Amy sekiranya penyanyi itu memerlukan sebarang bantuan.
“Dia ada minta maaf. Saya cakap kalau perlukan apa-apa bantuan, beritahu. Saya akan cuba bantu mana yang boleh,” katanya kepada mStar.
Awie berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media The Chosen One Xtra X Jutawan Ekpress yang diadakan di Astro, Bukit Jalil kelmarin.
Dia mengulas perkara berkenaan susulan kontroversi melibatkan Shila Amzah yang mendakwa diherdik oleh Amy ketika mereka sama-sama terlibat dalam sebuah acara.
Bercakap lanjut, Awie juga memberitahu kisah panas itu turut memberi kesan kepada dirinya apabila ramai yang menuding jari menuduh dia yang menyerang Shila.
Dia kemudian secara terbuka menyebut nama Amy dalam hantaran di sosial media meminta penyanyi itu tampil memberi penjelasan.
“Saya minta maaf kerana saya pun stres. Saya pun terpaksa kena nak bersihkan nama saya. Saya cuma berdoa semoga orang boleh ingat kebaikan saya, asyik ingat buat jahat sahaja. Saya pun ada buat kebaikan untuk pengetahuan semua,” ujarnya.
Dalam masa dia juga berharap Shila dan Amy dalam menyelesaikan kemelut ini secara baik agar tidak berpanjangan.
Bagi Awie kontroversi sebegini akan mencemarkan nama baik anak seni sehingga boleh menimbulkan kecaman warganet.
“Kita rakan satu industri seni ini, pusing kanan pusing kiri akan jumpa juga akhirnya. Jangan gaduh-gaduh, jangan keruhkan lagi suasana yang tengah teruk di mana kita boleh lihat artis dan industri mudah dihina orang ramai,” kongsinya. – Agensi
