Penyanyi Amy Search menjadi antara 163 orang penerima Darjah Pangkuan Seri Melaka sempena sambutan Hari Ulang Tahun ke-73 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam yang membawa gelaran Datuk.
Amy atau nama sebenarnya Suhaimi A Rahman, 64, merupakan satu-satunya penggiat seni yang disenaraikan sebagai penerima pingat sempena sambutan tahun ini.
Berita gembira itu dikongsi oleh isteri Amy iaitu Datin Norhasniza Hassan yang memuat naik gambar berdua ketika hadir ke Istana Melaka pada pagi Selasa bagi istiadat pengurniaan darjah berkenaan.
Bagaimanapun, usaha wartawan untuk mendapatkan kenyataan Amy tidak berjaya apabila panggilan dan mesej tidak berjawab.
Dalam temu bual bersama sebuah portal, vokalis kumpulan Search ini memberitahu penganugerahan tersebut merupakan satu amanah sekali gus menjadi pengiktirafan buat seluruh karyawan hiburan.
“Pemberian pingat ini tidak akan merubah Amy Search yang semua kenali selama ini. Saya tetap Amy Search, penyanyi dan pemain industri muzik.
“Dengan dikurnian pingat ini, ia memberi saya lebih tanggungjawab demi menjadi teladan yang lebih baik,” katanya.
Dalam pengurniaan tersebut, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengetuai senarai 883 penerima darjah kebesaran Negeri apabila dianugerahkan Darjah Utama Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.
Sementara itu, Darjah Gemilang Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk Seri dianugerahkan kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto.
Prabowo telah dikurniakan anugerah tersebut pada 26 Julai lalu di Dewan Utama, Pejabat TYT Melaka. – Agensi