Luahan penyanyi dan penyampai radio, Dina Nadzir mengenai kekurangan paras rupa turut menarik perhatian rakan selebriti iaitu Amylea Azizan.
Memetik dari mStar, berkongsi pandangan sama, Amylea, 37, memberitahu sehingga kini masih ramai yang menganggap dirinya bukan seorang penyanyi yang berjaya disebabkan tidak memiliki paras rupa cantik.
“Sehingga hari ini orang masih bercakap tentang paras rupa saya dan anggap saya tidak berjaya kerana tak cantik,” luahnya menerusi Instagram miliknya pada kelmarin.
Bersama kapsyen tersebut beliau turut berkongsi paparan skrin perkongsian Dina mengenai perkara itu.
Sebelum itu, Dina mengimbau kembali memori ketika zaman kanak-kanak apabila ada yang mempersendakan warna kulitnya yang terlihat sedikit gelap.
Malah selepas beliau bergelar artis, ada pula yang mempertikaikan mengenai rupa parasnya.
“Ketika usia lapan tahun, kanak-kanak di sekolah beritahu nama saya sepatutnya Hitam dan bukan Dina. Apabila menjadi penyanyi pada umur 19 tahun seorang lelaki bertanya kepada pasukan saya sudah tidak ada penyanyi lebih cantik?” ujarnya.
Dalam perkongsiannya itu juga, Dina berkata beliau sentiasa mengingati pesanan penyanyi Allahyarham Adibah Noor agar tidak ambil pusing setiap kata-kata negatif itu.
“Cuba hargai orang penting dalam hidup anda, terutama apabila tahu kesukaran yang dilalui.
“Penghargaan anda sungguh bermakna buat mereka,” jelasnya. – Agensi


