Kemunculan ramai bakat baharu tidak menggugat kedudukan aktres, Amyra Rosli, 33, apabila bakatnya masih ditagih penerbit.
Berkongsi rahsia kekal laris, Amyra atau nama sebenar, Nur Amira Izzati Rosli berkata, antara prinsipnya adalah sentiasa berpegang nasihat ibu dan cuba sehabis baik mengelak daripada kontroversi, lapor BH Online.
Amyra yang membintangi drama Bunga Salju berganding dengan Hisyam Hamid memberitahu, dia perlu mencari rezeki dengan cara betul demi menjaga air muka keluarga.
“Sebolehnya, saya cuba elak kontroversi sebab ibu ajar jika mahu mencari rezeki, perlu berada di landasan betul.
“Kalau hendak terkenal, sekejap sahaja. Tetapi, kalau mahu cari rezeki, buat dengan cara betul. Nasihat daripada ibu juga yang banyak membantu saya ke tahap ini. Bukan hendak berlagak apabila saya tiada kontroversi, dulu pun ada.

“Tetapi, saya kurang kontroversi disebabkan mahu jaga air muka ibu, ayah dan suami. Saya hanya buat kerja dalam industri ini.
“Apa yang saya dapat adalah rezeki anak. Pada masa sama, saya perlu kekal aktif dalam industri seni,” katanya.
Amyra yang memulakan kerjaya lakonan pada 2011 menerusi drama Supermak mengakui belum tiba masa untuk bersara.
“Mungkin ada orang cakap saya sudah ada dua anak, bila mahu berhenti berlakon? Saya tak berhenti selagi ada rezeki.
“Tidak semestinya perlu berlakon dengan satu genre sahaja. Ada juga lakonan yang boleh membawa kebaikan kepada orang lain.
“Jadi, kalau ada orang tanya sampai bila saya akan berlakon, jawapannya selagi saya mampu. Apa yang penting, jangan ada kontroversi, insyaAllah kita akan kekal,” katanya. – Agensi