Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    An-Najwan harumkan nama negara

    Oleh Nurdiyanah R.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Dis – Kumpulan Nasyid An-Najwan muncul naib johan dalam Pertandingan Akhir UNIC Got Starz ASEAN yang berlangsung di Masjid Puncak Alam, Shah Alam, Selangor, Malaysia kelmarin.

    Kelima-lima belia tempatan kumpulan itu, terdiri daripada Awang Muhammad Nazreen Hazwan bin Suani, Awang Abdullah Wafi bin Haji Rusli, Awang Mohd Khairunnajah bin Haji Kamis, Awang Ahmad Malkan bin Haji Lakim dan Awang Muhammad Fawzan bin Abu Kassim telah tiba di tanah air, pagi tadi.

    Dengan pencapaian itu, kumpulan tersebut menerima piala naib johan, wang tunai berjumlah RM2,000, pakej percutian ke Pulau Redang selama tiga hari dua malam berserta hadiah iringan sumbangan daripada UNIC Exclusive, Elhajj dan Neng Gulis.

    Semasa ditemui wartawan Media Permata di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas, Timbalan Ketua Kumpulan An-Najwan, Awang Muhammad Nazreen Hazwan meluahkan rasa bersyukur kepada Allah S.W.T di atas rezeki kejayaan dalam pertandingan yang turut disertai lebih 500 orang peserta dari lima buah negara ASEAN termasuklah Negara Brunei Darussalam, Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.

    Namun hanya tujuh kumpulan sahaja yang terpilih meneruskan perjuangan ke peringkat akhir, temasuklah Kumpulan An-Najwan dari Negara Brunei Darussalam.

    Kumpulan An-Najwan bergambar ramai bersama hadiah dan piala penghargaan mereka semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas, kelmarin.

    “Berkat doa dan sokongan serta kepercayaan yang teguh daripada ahli-ahli keluarga, saudara mara dan para peminat Kumpulan An-Najwan yang tidak putus-putus itulah antara pencetus kejayaan ini,” jelas beliau yang juga memenangi hadiah bagi vokal solo terbaik dalam pertandingan berkenaan.

    Tambah beliau lagi, melalui penyertaan dalam pertandingan ini, ia dapat menambahkan ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang kesenian nasyid dan dakwah, di samping dapat berkongsi pengalaman yang begitu berharga bersama peserta-peserta dari luar negara dan juga artis-artis nasyid terhebat di Malaysia antaranya UNIC, Raihan dan Rabbani daripada segi tips, teknik penyampaian lagu yang berkesan, teknik nyanyian yang betul, persembahan dan sebagainya.

    “Dengan mengikuti pertandingan ini, Kumpulan An-Najwan berhasrat untuk meneruskan misi kumpulan dalam memartabatkan kesenian nasyid, khususnya dalam kalangan masyarakat di negara ini dan dunia luar amnya.

    Di samping itu, kumpulan ini juga berharap dapat melebarkan sayap kesenian mereka bukan saja ke peringkat ASEAN bahkan juga sampai ke peringkat antarabangsa,” ujar beliau lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda