Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Dis – Kumpulan Nasyid An-Najwan yang terdiri daripada lima belia tempatan akan mewakili Negara Brunei Darussalam ke Pertandingan Akhir UNIC Got Starz ASEAN yang akan berlangsung di Masjid Puncak Alam, Shah Alam, Selangor, Malaysia pada 30 Disember ini.
Adapun tujuan utama pertandingan tersebut diadakan adalah untuk mencari bakat baru yang berpotensi besar dalam industri nasyid khususnya di negara-negara ASEAN.
Kelima-lima ahli kumpulan itu telah berangkat ke Malaysia, pagi tadi, yang diketuai oleh Ketua Kumpulan An-Najwan, Awang Muhammad Nazreen Hazwan bin Suani. Manakala ahli-ahli yang lain terdiri daripada Awang Abdullah Wafi bin Haji Rusli, Awang Mohd Khairunnajah bin Haji Kamis, Awang Ahmad Malkan bin Haji Lakim dan Awang Muhammad Fawzan bin Abu Kassim.
Awang Muhammad Nazreen Hazwan menjelaskan bahawa mereka akan mempersembahkan lagu yang berjudul Bintang Syurga semasa pertandingan itu nanti.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/12/3A-17CM-RUBIE_291217.jpg)
“Berasa bersyukur kerana terpilih mewakili negara untuk memperjuangkan kesenian nasyid. Tambahan lagi, ia merupakan peluang keemasan untuk menambah pengalaman baru di samping meningkat prestasi kumpulan dari segi nyanyian, kreativiti dan persembahan,” ujarnya kepada Media Permata.
Jelasnya lagi, dengan mengikuti pertandingan ini, ia diharap akan dapat menarik minat para belia di negara ini memperjuangkan kesenian lagu-lagu nasyid dan dakwah di samping membuktikan kepada dunia luar bahawa kita juga mempunyai potensi dalam bidang kesenian nasyid dan dakwah untuk mengharumkan nama negara, tambah beliau kepada Media Permata.
Pertandingan itu dianjurkan oleh Syarikat UNICdotmy Pro yang telah memperkenalkan sebuah pertandingan nyanyian di dalam laman sesawang Youtube yang dikenali sebagai UNIC Got Starz ASEAN. Wakil kumpulan nasyid dari negara-negara seperti Singapura, Indonesia dan Thailand juga bakal bertanding dalam pertandingan akhir itu nanti.