Monday, January 6, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anak Adi Putra muncul baca doa buat tetamu sayu

    Kemunculan anak perempuan pelakon Malaysia Datuk Adi Putra iaitu Zara Adelia, 11, membaca doa ketika tayangan perdana filem Syaaban yang berlangsung pada malam Sabtu menyentuh hati tetamu yang hadir pada acara berkenaan.

    Zara yang juga orang kurang upaya (OKU) bisu dan pekak dilihat bersungguh-sungguh cuba membaca doa sehingga selesai sebelum memeluk erat bapanya.

    Tidak ramai mengetahui keadaan kanak-kanak itu namun Adi atau Mohamed Hadi Putra Halim, 42, berkata, dia menyedari kelainan pada anak kesayangannya itu sejak Zara berusia enam bulan.

    Adi berkata, dia merasakan ada sesuatu tidak kena apabila Zara tidak terjaga daripada tidur meskipun ada bunyi bising di sekelilingnya.

    “Ketika itu saya sedang tidur bersamanya dan tiba-tiba ada bunyi bising motosikal di luar rumah yang membuatkan saya terjaga tapi dia tetap tidur dengan lena.

    “Saya bawa dia untuk bawa pemeriksaan dan dari situ saya tahu dia istimewa,” katanya kepada mStar.

    Berkongsi lanjut mengenai keadaan Zara, Adi memberitahu anaknya itu mengalami masalah pendengaran dan terpaksa menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi.

    Adi Putra sedar keistimewaan Zara seawal usia enam bulan lagi. – Agensi

    Tidak hanya itu, alat bantuan pendengaran juga tidak dapat membantu Zara untuk mendengar dengan baik.

    “Alhamdulillah saya tahu menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi dengannya. Kalau berada di luar pun kami boleh berbual menerusi panggilan video atau WhatsApp.

    “Kadang-kadang kalau tak guna bahasa isyarat pun dia tahu apa yang saya nak cakap kepadanya,” katanya.

    Dalam pada itu, Adi berkata, dia dan Zara sangat akrab dan menyifatkan anak perempuannya itu seorang yang berdikari.

    Meskipun ada kekurangan namun Zara seorang kanak-kanak yang patuh selain peka dengan keadaan sekelilingnya.

    “Kami sangat rapat… dia seorang yang berdisiplin, berdikari dan teliti dalam pelbagai aspek kehidupan harian,” ujarnya.

    Untuk rekod, Adi dan isteri Datin Zuhaida Yusof mendirikan rumah tangga pada 2006 namun berpisah pada 2017 sebelum kembali bersama setahun kemudian.

    Selain Zara, pasangan ini turut mempunyai seorang lagi anak angkat iaitu Azzhara yang juga berusia 11 tahun.

    Sementara itu, bercakap mengenai Syaaban, Adi berkata filem arahan pertamanya itu merupakan inspirasi daripada filem popular Indonesia iaitu Kiamat Sudah Dekat.

    Adi berkata, dia mengolah semula filem berkenaan sebanyak 30 peratus selain turut menampilkannya sebagai pelakon utama.

    “Syaaban adalah karya pertama saya yang saya hasilkan sebagai filem amal kerana dengan ikhlas ingin membantu golongan yang memerlukan,” jelasnya.

    Selain Adi, Syaaban turut dibarisi barisan pelakon seperti Hasnul Rahmat, Akmal Khan, Adeep Nahar, Jobot dan Doktor Nadia. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda