Perkongsian video memaparkan gelagat anak usahawan sensasi Malaysia, Datuk Seri Vida (DSV) berbangga berkongsi jumlah perbelanjaan bulanan mereka mencuri perhatian warganet di media sosial.
Dalam satu video yang dimuat naik di aplikasi TikTok, Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 52, meminta Cik B dan Kacak berkongsi jumlah wang yang ada di dalam akaun bank dua anaknya itu.
“Ini akaun duit anak Datuk Seri Vida,” katanya.
Warganet bagaimanapun terkejut apabila Cik B atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin menunjukkan dia pernah berbelanja kira-kira sejuta ringgit pada Julai lalu.
Dalam pada itu, Cik B juga menunjukkan perbelanjaan pada November lalu iaitu RM23,000.
Malah DSV sendiri juga terkejut dengan perbelanjaan anak perempuannya itu.
“Takutnya, banyaknya beli. Apa yang dia beli sampai sejuta?” ujarnya.
Sementara itu, Kacak atau Muhammad Eddie Zuhdie Mohd Amin enggan berkongsi jumlah perbelanjaannya namun memaklumkan dia lebih suka menyimpan duit.
Memetik laporan mStar, tidak hanya itu, mereka juga berkongsi baki wang selepas sakan berbelanja beberapa bulan sebelum ini. Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet mengusik dan menyatakan hasrat ingin berkawan dengan kedua-dua remaja berkenaan.
Malah, ada juga menganggap ia perkara biasa bagi golongan T20.
“Mak dia tengok anak berhabis RM1 juta macam tengok RM100 saja. Budaya T20 betul.” – Agensi