BERLIN, 9 OKT – Polis Jerman kelmarin mengesahkan bahawa suspek utama dalam kes menikam datuk bandar yang baru dipilih adalah anak angkatnya yang berusia 17 tahun.
Iris Stalzer, yang baru-baru ini dipilih sebagai Datuk Bandar Herdecke di Jerman barat, ditemui di rumahnya pada Selasa dengan kecederaan serius akibat kejadian menikam tersebut.
Stalzer, 57, memberitahu pihak polis bahawa anak angkatnya yang melakukan serangan itu, kata polis dalam satu sidang media.
Stalzer kini menerima rawatan di hospital dan keadaannya dilaporkan tidak lagi mengancam nyawa.
Kedua-dua anak angkat Stalzer, iaitu anak perempuan dan seorang anak lelaki berusia 15 tahun, ditahan selepas serangan itu, namun akan diserahkan kepada jagaan perkhidmatan belia.
Dalam sidang media yang sama, Pendakwa Raya Bernd Haldorn menyatakan serangan itu kemungkinan berpunca daripada ‘isu keluarga’.
Pihak penyiasat berkata anak perempuan Stalzer menghubungi polis sekitar tengah hari Selasa, mendakwa ibunya cedera akibat rompakan.
Bagaimanapun, penyiasat segera menemui ‘bukti signifikan’ di rumah tersebut yang menyebabkan mereka menumpukan siasatan terhadap remaja itu sebagai suspek.
Dua bilah pisau dan beberapa pakaian ditemui di rumah dan diambil sebagai bukti. – AFP


