LIBREVILLE, 20 SEPT – Anak lelaki Ali Bongo Ondimba dan beberapa sekutu bekas Presiden Gabon yang digulingkan telah didakwa atas tuduhan pengkhianatan tinggi dan rasuah serta kini berada dalam tahanan, kata pendakwa negara kepada AFP hari ini.
Noureddin Bongo Valentin, anak sulung Bongo dan bekas jurucakap presiden, Jessye Ella Ekogha, serta empat individu lain yang rapat dengan pemimpin yang digulingkan, “Telah didakwa dan berada dalam tahanan sementara,” kata pendakwa Libreville, Andre-Patrick Roponat, kelmarin.
Mereka dihadapi dengan pelbagai tuduhan termasuk pengkhianatan tinggi terhadap institusi negara, pengubahan wang awam yang besar, pemalsuan tandatangan presiden, rasuah dan pengedaran dadah.
Bongo, 64, yang memerintah negara Afrika Tengah yang kaya dengan minyak itu sejak 2009, digulingkan oleh pemimpin tentera pada 30 Ogos lalu, sejurus selepas diisytiharkan memenangi pilihan raya presiden.
Keputusan itu dianggap sebagai penipuan oleh pihak pembangkang dan juga pemimpin rampasan kuasa tentera, yang juga mendakwa bahawa rejimnya melibatkan rasuah meluas dan pentadbiran yang teruk.
Semasa hari rampasan kuasa itu, tentera menangkap salah seorang anak lelaki Bongo, lima pegawai kabinet kanan dan isterinya, Sylvia Bongo Valentin.
Penyiar televisyen tempatan menyiarkan imej individu yang ditahan di hadapan beg berisi wang tunai yang didakwa dirampas dari rumah mereka. – AFP
