PRAGUE, 20 JUN – Polis Czech menahan tiga suspek yang didakwa merawat pesakit di sebuah klinik pergigian palsu tanpa lesen sah atau latihan profesional.
Polis dalam kenyataan pada Rabu berkata, berpuluh-puluh orang telah mengunjungi klinik tersebut selepas keluarga tiga beranak itu membuka pusat rawatan di rumah mereka di bandar Havlickuv Brod, kira-kira 100 kilometer tenggara Prague, dua tahun lalu.
Ketiga-tiga mereka dipercayai meraih keuntungan sebanyak AS$185,000 sebelum ditahan awal bulan ini.
Mereka telah mengaku bersalah atas beberapa pertuduhan termasuk menjalankan perniagaan haram, cubaan mencederakan orang, mencuri, serta penghasilan dan pengendalian bahan narkotik, bahan psikotropik dan racun secara haram.
Jika disabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga lapan tahun.
Menurut polis, anak lelaki berusia 22 tahun dalam keluarga itu menggunakan internet untuk merujuk prosedur rawatan, termasuk mencabut gigi, manakala ibunya yang berusia 50 tahun — seorang jururawat — bertindak sebagai pembantu dan membekalkan bahan. Bapanya yang berusia 44 tahun pula menghasilkan peranti prostetik.
Akhbar wilayah tersebut, Denik melaporkan bahawa kegiatan klinik tersebut terbongkar selepas seorang doktor gigi membuat aduan, susulan seorang pesakit mendapatkan rawatan lanjut daripadanya akibat komplikasi selepas menerima rawatan di klinik palsu berkenaan. – AP


