Thursday, February 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anak bertuah ‘gempa’ sihat

    JINDRS, SYRIA, 6 OGOS – Seorang anak damit perempuan yang dilahirkan di bawah runtuhan rumah keluarganya yang musnah akibat gempa bumi melanda Turkiye dan Syria enam bulan lalu berada dalam keadaan sihat, menyayangi keluarga angkatnya dan suka tersenyum walaupun kepada orang tidak dikenali.

    Anak damit berambut gelap, Afraa terselamat 10 jam di bawah runtuhan selepas gempa bumi pada 6 Februari membunuh ibu bapa dan empat adik-beradiknya di bandar Jinderis di utara Syria. Ketika ditemui, tali pusatnya masih bersambung dengan ibunya.

    Kisahnya menarik perhatian dunia pada masa itu dan orang ramai dari seluruh dunia menawarkan diri untuk menjadikannya sebagai anak angkat.

    Selepas menghabiskan beberapa hari di hospital di utara Syria, Afraa diserahkan kepada ibu saudara sebelah bapanya, yang mengambilnya dan membesarkannya bersama lima anak perempuan dan dua anak lelaki mereka.

    Afraa diserahkan kepada keluarga ibu saudaranya selepas ujian DNA dijalankan bagi memastikan hubungan gadis itu dan ibu saudaranya mempunyai pertalian darah, kata bapa angkatnya, Khalil al-Sawadi.

    Afraa sedang bermain dengan seronok kelmarin, berayun di atas buaian yang tergantung di siling manakala al-Sawadi menolaknya ke depan dan ke belakang.

    “Anak perempuan ini adalah anak saya. Dia betul-betul sama dengan anak-anak saya,” kata al-Sawadi sambil duduk bersila dengan Afraa di pangkuannya.

    Al-Sawadi berkata dia menghabiskan seharian di apartmen yang disewanya tetapi pada waktu malam mereka sekeluarga pergi ke penempatan khemah untuk bermalam kerana anak-anaknya masih trauma dengan gempa bumi yang mengorbankan lebih 50,000 orang di selatan Turkiye dan utara Syria. – AP

    Khalil al-Sawadi bermain dengan anak angkatnya, Afraa di Jinderis, Syria pada 6 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda