LONDON, 14 MAC – Seekor anak beruang yang menjalani pembedahan otak untuk menyelamatkan nyawanya telah bangun dari hibernasi dan menunjukkan pemulihan yang luar biasa, kata pengurusan zoo di UK kelmarin.
Beruang bernama Boki itu menjalani pembedahan pada Oktober lalu bagi merawat masalah cecair berlebihan di otaknya, hanya beberapa minggu sebelum hibernasi.
Doktor haiwan telah menunggu dengan penuh debar untuk melihat bagaimana Boki akan bangun dari tidur bagi menilai kejayaan pembedahan tersebut, yang merupakan yang pertama seumpamanya dilakukan pada beruang perang.
“Ia kelihatan sihat, gembira dan kami tidak melihat sebarang tanda negatif,” kata Jon Forde, ketua unit beruang di Wildwood Trust, sebuah badan pemuliharaan di Canterbury, tenggara England.
“Semua ciri keperibadiannya masih ada – Boki masih yang sama seperti yang kami kenali dan sayangi,” tambahnya.
Boki, yang berusia tiga tahun semasa hibernasi, sebelum ini mengalami sawan akibat pembengkakan dan pengumpulan cecair di otaknya.
Haiwan itu diberi ubat untuk mengurangkan tekanan di otak, tetapi doktor haiwan bimbang ia tidak akan mampu bertahan sepanjang hibernasi tanpa rawatan pembedahan.
Keputusan untuk menjalani pembedahan akhirnya dibuat dan pakar bedah haiwan terkenal dunia, Romain Pizzi, yang telah memasang stent antara otak dan abdomen Boki bagi membantu mengalirkan cecair berlebihan. – AFP
