Pelakon Rizky Billar terpaksa membayar ganti rugi sebanyak 1.2 juta Rupiah (RM333) selepas anaknya iaitu Muhammad Levian Al-Fatih Billar menconteng cadar ketika menginap di sebuah hotel.
Cerita Rizky, 29, dia dan isterinya Lesti Kejora dimaklumkan perkara itu daripada salah seorang kakitangan hotel yang memeriksa bilik berkenaan selepas mereka mendaftar keluar, lapor mStar
Dalam mesej yang diterima, staf itu berkata tukang cuci mendapati cadar di bilik 1007 tempat Rizky sekeluarga menginap mempunyai contengan pen.
Tambah pekerja itu, tukang cuci sudah cuba menanggalkan dakwat pen tersebut namun gagal.
Maka disebabkan itu, pihak hotel meminta Rizky untuk bertanggungjawab atas kelakuan anaknya itu dan perlu membayar ganti rugi sebanyak 1.2 juta Rupiah.
Rizky hanya mampu berseloroh di Instagram miliknya tentang kejadian berkenaan namun sedar perbuatan anaknya itu adalah salah.
“Alhamdulillah Levian, selain boleh menyanyi dan suka muzik, rupa-rupanya suka melukis.
“Insya Allah jadi artis sejati. Tapi tak boleh kreatif di cadar hotel ya nak,” katanya.
Untuk rekod, Rizky dan Lesti mendirikan rumah tangga sejak 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata bernama Muhammad Levian Al-Fatih Billar. – Agensi