Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anak damit 10 bulan pendaki termuda negara

    Oleh Lyna Mohamad –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Anak damit berusia 10 bulan, Awang Muhammad Ean Maleeq, anak kepada pasangan muda Awang Adizam dan Dayangku Nur Alyaa, mungkin antara pendaki paling muda di negara ini yang telah menyertai beberapa ekspedisi mendaki bersama ibu bapanya sejak berusia enam bulan.

    Bermula dengan pendakian pertama ketika berusia hanya enam bulan, Ean sudah menakluk beberapa bukit terkenal seperti Bukit Silat, Bukit Si Patir, Bukit Shahbandar dan Tasek Lama, menjadikannya ‘anak damit mengembara’ yang semakin mendapat perhatian.

    Perkongsian gambar dan siaran langsung TikTok oleh Dayangku Nur Alyaa telah menarik perhatian ramai warganet, yang rata-rata memuji usaha pasangan ini memperkenalkan alam semula jadi kepada anak mereka sejak kecil. Namun begitu, ada juga yang menasihati agar aspek keselamatan sentiasa diberi keutamaan.

    “Kami suka membawa Ean mendaki kerana ia satu cara yang menyeronokkan untuk meluangkan masa bersama sebagai sebuah keluarga sambil menikmati keindahan alam,” jelas ibunya sambil menegaskan bahawa mereka sentiasa memastikan persiapan yang lengkap dengan keselamatan sebagai keutamaan utama.

    Bapanya pula berkongsi bahawa mereka ingin mendedahkan anak mereka kepada alam sekitar sejak kecil, namun sentiasa memilih laluan mudah, tidak terlalu curam, dalam keadaan cuaca yang baik serta membawa Ean dalam penggendong ergonomik belakang yang selesa dan dilengkapi dengan topi pelindung matahari.

    Menurut ibunya lagi, persiapan rapi merupakan kunci utama dalam memastikan pengalaman pendakian yang selamat dan menyeronokkan. Sepanjang pendakian, Ean kelihatan tenang, malah sempat terlelap, dibuai hembusan angin lembut dan kicauan burung hutan.

    Cerita pasangan tersebut bukan sahaja mencuit hati, malah menjadi inspirasi kepada ibu bapa muda lain untuk terus melibatkan anak-anak dalam aktiviti sihat seawal usia, dengan syarat keselamatan sentiasa diutamakan.

    Awang Muhammad Ean dalam penggendong ergonomik belakang yang dilengkapi topi pelindung matahari. – GAMBAR OLEH LYNA MOHAMAD
    Pendaki termuda, Awang Muhammad Ean digendong oleh ibu bapanya dalam aktiviti mendaki bukit. – GAMBAR OLEH LYNA MOHAMAD

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda