Anak damit 3 bulan dijangkiti virus polio

KUALA LUMPUR, 8 DIS – Setelah 27 tahun Malaysia bebas daripada virus polio, Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memaklumkan seorang anak damit lelaki berumur tiga bulan dari  Tuaran, Sabah disahkan dijangkiti penyakit itu.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata anak damit itu mengalami demam diikuti lemah anggota badan dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di hospital sebelum disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1) Jumaat lepas (6 Disember).

Menurut beliau, anak damit itu masih dirawat di wad isolasi dan berada dalam keadaan stabil tetapi masih memerlukan bantuan pernafasan.

“Hasil ujian pengesahan yang dijalankan oleh World Health Organization (WHO) Polio Regional Laboratory di Australia, virus itu mempunyai perkaitan genetik dengan virus polio yang dikesan pada kes Acute Flaccid Paralysis (AFP) di negara Filipina,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata virus yang dilemahkan itu dikumuhkan oleh badan melalui najis dan dalam persekitaran yang tidak sanitari, ia boleh menjangkiti orang lain yang tiada imuniti terhadap polio serta ia terus tersebar dalam komuniti yang liputan imunisasi polio kurang daripada 95 peratus.

“Semakin lama virus itu tersebar dalam komuniti itu, ia mengalami mutasi genetik hingga menjadi virus yang kembali aktif, dikenali sebagai vaccine-derived poliovirus (VDPV) dan boleh menyebabkan poliomielitis.

“Namun begitu, untuk mereka yang telah divaksinasi dengan vaksin poliomielitis, mereka akan mendapat perlindungan daripada jangkitan penyakit itu,” jelasnya.

Sementara itu, katanya, sehingga 5 Disember lepas, hasil siasatan di kawasan tempat tinggal kanak-kanak yang dijangkiti polio di Sabah itu mendapati 23 daripada 199 orang (11.6 peratus) yang berumur antara dua bulan hingga 15 tahun tidak menerima vaksin polio. – Bernama