Anak damit atas bumbung, polis ambil keterangan teman lelaki

IPOH, 20 JULAI – Pihak polis telah mengambil keterangan daripada teman lelaki remaja wanita yang melahirkan seorang anak damit lelaki ditemukan di atas bumbung sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Seri Dermawan, Bercham di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A Asmadi Abdul Aziz berkata polis telah mengambil keterangan daripada remaja lelaki yang berumur 18 tahun itu di Selangor dan turut menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi tujuan pengesahan berkaitan siasatan kes.

Menurut beliau pihaknya tidak menolak kemungkinan polis akan membuka siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol kekasih di bawah umur.

A Asmadi juga berkata polis telah mengambil keterangan daripada remaja perempuan berumur 16 tahun yang juga ibu anak damit itu.

“Ibu anak damit itu masih dalam keadaan lemah namun keterangan ke atasnya telah diambil untuk siasatan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan sebelum tindakan susulan diambil termasuk meneruskan pendakwaan dan sebagainya, bergantung kepada keadaan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini. – Bernama